Selasa, 18 Julai 2017 | 6:06pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menerima cenderahati daripada Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul (kiri) ketika hadir di Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Sabah Bersama Warga Pendidikan dan Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Guna saluran, tak perlu protes - Masidi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak bersetuju dengan tindakan sekumpulan operator pelancongan di negeri ini yang menganjurkan protes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) baru-baru ini, disebabkan kewujudan operator pelancongan haram dari China.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata tindakan berkenaan mampu memberikan kesan buruk kepada industri pelancongan di Sabah.

Katanya, tindakan seperti itu juga boleh mencemarkan imej penduduk negeri kerana Sabah terkenal dengan kepelbagaian kaum yang mesra dan ramah kepada orang luar.

"Perkara seumpama ini tidak seharusnya berlaku... kita ada saluran yang betul sekiranya mahu membuat aduan atau tindakan.

"Kita dengan bantuan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berusaha mengembalikan keyakinan pelancong luar, terutamanya dari China, selepas berdepan pelbagai cabaran seperti kehilangan MH370, penculikan dan gempa bumi.

"Selain itu, kita juga bersaing hebat dengan negara jiran yang turut aktif dengan industri pelancongan mereka. Bagaimanapun, Sabah membuktikan memiliki rekod terbaik apabila masih menjadi pilihan pelancong China," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian tunjuk perasaan sekumpulan operator pelancongan di KKIA bagi menyekat operasi pemandu pelancong didakwa tidak berdaftar pada awal pagi Ahad lalu.

Terdahulu, Masidi yang juga Exco Pendidikan negeri hadir ke majlis Perjumpaan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama Warga Pendidikan Sabah dan sambutan Aidilfitri di Wisma Pendidikan.

Berita Harian X