Rabu, 2 Ogos 2017 | 7:01pm
Peserta OKU, Rizal Faisal Mohamed Kandar, 34 (dua kanan) dibantu oleh kakitangan skuba membuat persediaan untuk menyelam pada program Selam Skuba Golongan Khas/OKU Bersama Universiti Malaysia Terengganu di Pusat Sukan dan Rekreasi, Universiti Malaysia Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

UMT UA anjur program skuba untuk OKU

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti awam (UA) pertama menganjurkan program UMT Kids Scuba Diveheart OKU 2017.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, program yang akan dilaksanakan secara berperingkat itu diharap dapat melahirkan kumpulan perintis penyelam skuba OKU di dasar laut pertama di Malaysia.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar (empat kanan) memerhatikan peserta OKU, Rizal Faisal Mohamed Kandar, 34, menyelam pada program Selam Skuba Golongan Khas/OKU Bersama Universiti Malaysia Terengganu di Pusat Sukan dan Rekreasi, Universiti Malaysia Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Katanya, program itu juga boleh membantu terutamanya penuntut OKU di UMT untuk menjalani terapi memandangkan aktiviti itu juga membantu memulihkan semangat dan mengurangkan sakit terutama membabitkan saraf yang dialami mereka.

"Buat permulaan, kita akan menjalankan latihan kepada 10 OKU dengan kerjasama daripada pihak Duta Diveheart Malaysia yang menyediakan kepakaran untuk memberi latihan kepada kakitangan UMT dan peserta OKU.

"Pada bulan ini, Latihan Insentif Kursus Skuba untuk meningkatkan keyakinan ketika berada di dalam air juga akan diadakan khusus kepada peserta sebelum mereka dibawa ke Pulau Bidong untuk merasai sendiri keseronokan berada di dasar laut," katanya kepada media pada majlis pelancaran program berkenaan di UMT Gong Badak di sini, hari ini.

Dr Nor Aieni berkata, program berkenaan juga membolehkan peserta menimba ilmu, sekali gus melahirkan lebih ramai pakar selam, jurulatih dan penyelam komersial khas untuk mereka yang mengalami masalah deria pendengaran dan cacat anggota badan.

Sementara itu, Pengarah Program, Syed Abd Rahman Syed Hassan berkata, aktiviti berkenaan memberi peluang baharu kepada golongan OKU untuk bersama-sama mempromosi sukan air bertaraf dunia.

"Program Skuba untuk golongan OKU ini adalah satu projek khas pihak kami yang digembleng supaya semangat golongan ini dapat ditingkatkan.

"Saya yakin latihan dan pendedahan di kolam secara percuma kepada peserta dapat membantu merealisasikan hasrat melahirkan golongan OKU yang berkeyakinan tinggi," katanya.

Berita Harian X