Khamis, 3 Ogos 2017 | 5:58pm
KEADAAN dapur sebuah rumah di Kampung Bako Hulu, ranap akibat arus deras Sungai Bako, semalam.

Dapur rumah dihanyut arus deras

KUCHING: Sebuah rumah di Kampung Bako Hulu di sini, nyaris ranap dipukul arus deras sungai ketika hujan lebat, malam semalam.

Bagaimanapun, enam penghuni rumah terbabit bernasib baik apabila hanya bahagian dapur yang musnah dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu.

Seorang penghuni, Fauzi Dollah, 34, berkata ketika kejadian mereka sekeluarga sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Fauzi berkata, sebaik sahaja dikejutkan bunyi dentuman kuat beliau bangun dan berlari ke arah dapur yang terletak di belakang rumah.

"Sampai di bahagian belakang rumah, saya dapati ruang dapur kami sudah dihanyutkan arus deras Sungai Bako.

"Kami hanya mampu melihat semua peralatan termasuk perabot di dapur dibawa arus deras," katanya.

Fauzi berkata, kejadian itu adalah yang pertama sejak rumah itu didiami keluarga mentuanya lebih 20 tahun lalu dan ia dipercayai akibat hakisan sejak minggu lalu.

"Kami sekeluarga memang terkejut kerana tidak sangka arus sungai yang kuat menyebabkan dapur rumah roboh. Mujur kami sudah selesai memasak dan makan malam," katanya.

Beliau berkata, hakisan disedari semakin serius apabila hujan lebat dan sejak minggu lalu menyebabkan mereka sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Difahamkan, kejadian itu juga menyebabkan dua lagi rumah di kampung berkenaan terjejas namun tiada sebarang kerosakan serius.

"Kini saya bersama lima ahli keluarga termasuk bapa dan ibu mentua bimbang hakisan semakin teruk dan berkemungkinan melenyapkan seluruh rumah kami pula," katanya.

Fauzi berkata, masalah mengenai hakisan sudah diajukan kepada pihak berwajib baru-baru ini namun beliau dan penduduk kampung masih menanti tindakan selanjutnya bagi mengatasinya.

Katanya, mereka mengharapkan masalah hakisan yang berlaku ini dapat diatasi segera kerana bimbang ia mungkin boleh meragut nyawa keluarganya serta penduduk lain yang tinggal di tebing sungai.

Berita Harian X