Ahad, 27 Ogos 2017 | 7:52pm
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan (tengah) melihat serunding keluaran Salma Serunding milik Syarikat Fourth Generation Food Industries (Salma Serunding) diperhatikan Pengarah Urusannya, Rahinah @ Salma Yunus (dua kanan) selepas merasmikan syarikat itu di Jalan Kubur Maras, Kampung Langgar, Kota Bharu. - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

Kerajaan sasar lahir lebih ramai usahawan, produk Bumiputera

KOTA BHARU: Konsep 'Satu Keluarga Satu Usahawan' yang diperkenalkan kerajaan bukan sahaja bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini, tetap juga bagi mempelbagai produk keluaran Bumiputera.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan, berkata konsep berkenaan mampu mewujudkan keluarga usahawan, sekali gus mempelbagaikan percambahan produk Bumiputera.

"Memang ada keluarga mengusahakan perniagaan tanpa membabitkan orang luar, tetapi peratusannya di negara ini masih kecil.

"Kita mahu memupuk semangat supaya dalam setiap keluarga, ada seorang yang minat berniaga supaya kita dapat memperluaskan bidang keusahawanan di negara ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melawat dan merasmikan kilang Fourth Generation Food Industries di Lorong Kubur Maras Kota Bharu, di sini hari ini.

Kilang berkenaan yang mengeluarkan produk serunding jenama Salma Serunding, adalah warisan empat generasi dengan perolehan RM357,000 dicatatkan tahun lalu.

Ahmad berkata, MITI sebelum ini turut memperkenalkan konsep 'Satu Daerah Satu Industri' dan 'Satu Kampung Satu Produk' bagi menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan.

Katanya, usahawan juga dibantu mendapatkan pinjaman mudah dan geran bagi meningkatkan pengeluaran produk terutama menerusi industri kecil dan sederhana (IKS).

Beliau berkata, MITI turut memperkenalkan Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) yang menawarkan geran padanan dan pinjaman mudah kepada syarikat.

"Tahun lalu kita sudah meluluskan 12 permohonan geran dan pinjaman mudah menerusi program GEB dengan nilai keseluruhan RM8 juta," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X