Jumaat, 1 September 2017 | 6:59pm
KEADAAN rumah seorang penduduk di Kampung Air yang rosak teruk akibat ribut di Kampung Keramat, Beluran.- Foto Hazsyah Abdul Rahman
KEADAAN rumah seorang penduduk di Kampung Air yang rosak teruk akibat ribut di Kampung Keramat, Beluran.- Foto Hazsyah Abdul Rahman
KEADAAN rumah penduduk di Kampung Air, di Beluran yang rosak selepas bumbung diterbangkan angin kencang.
KEADAAN rumah penduduk di Kampung Air, di Beluran yang rosak selepas bumbung diterbangkan angin kencang.

17 rumah rosak akibat ribut

BELURAN: "Hanya tiga saat, atap rumah rosak diterbangkan angin," kata Andaraman Kahar dari Kampung Air, di sini.

Rumah Andaraman antara 17 yang rosak susulan angin kencang yang melanda perkampungan atas air itu dalam kejadian jam 6.55 petang, Khamis.

Andaraman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu berkata, dia sedang menonton televisyen, sebelum ribut melanda.

Katanya, kejadian berlaku sangat pantas dan menyebabkan bumbung di bahagian dapur serta sebuah bilik rumahnya tercabut.

"Kira-kira 50 peratus rumah saya rosak akibat ribut, mujur tiada yang cedera.

"Ini kejadian paling teruk berlaku sehingga menyebabkan banyak rumah yang rosak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, ia kali keempat kampung terbabit dilanda ribut dalam tempoh 10 tahun.

Andaraman berkata, tiga rumah rosak teruk dalam kejadian itu termasuk rumahnya, manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil.

Katanya, laporan polis dibuat mangsa sejurus selepas kejadian itu dan penduduk berharap pihak berkaitan menyalurkan bantuan segera bagi mengurangkan bebanan mereka.

Berita Harian X