Ahad, 3 September 2017 | 11:24am
DATUK Hasni Mohammad.- Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
DATUK Hasni Mohammad.- Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

BAKAJ guna UAV pantau 14 empangan

JOHOR BAHRU: Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) melaksanakan program pemetaan udara menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi mengawasi aktiviti manusia serta mengekang pencerobohan 14 empangan utama di Johor.

Ia termasuk pemantauan udara secara serius membabitkan kawasan Sungai Johor, Empangan Linggiu, Sungai Ulu Sedili Besar, Empangan Congok dan Sungai Mersing bagi memastikan zon tadahan itu terpelihara daripada aktiviti yang boleh mencemari alam sekitar selain mengenal pasti pencerobohan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad, berkata setakat ini BAKAJ mengesan pencerobohan di Empangan Layang, Empangan Congok, zon tadahan Gunung Pulai dan Empangan Linggiu.

"Contohnya, Empangan Layang yang menjadi nadi bekalan air bagi Pasir Gudang diceroboh untuk kegiatan pertanian.

"Setakat ini, BAKAJ mengesan tujuh kes pencerobohan di situ dan dalam proses dikenakan tindakan undang-undang.

"Langkah lain melindungi kawasan tadahan dan empangan ialah dengan memasang pagar seperti dilakukan di hulu dan hilir Empangan Layang," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM1.5 juta bagi membangunkan pangkalan data kawasan tadahan bagi melaksanakan program itu.

Katanya, pelan pengurusan kawasan tadahan dan pelan keselamatan pengurusan empangan turut dibangunkan untuk dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Hasni berkata, BAKAJ rancak melakukan kerja meluaskan zon penampan di Empangan Lebam dekat Pengerang dengan menanam semula pokok hutan di kawasan seluas 80 hektar melalui fasa 1.

Katanya, Fasa 2 pula akan dilaksanakan selepas memperolehi laporan impak projek berkenaan.

"BAKAJ dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Galian negeri sedang di peringkat akhir bagi memuktamadkan zon penampan baru Empangan Lebam yang ketika ini hanya membabitkan jarak 50 meter dari gigi air.

"Ia akan membabitkan kawasan yang agak luas bagi memastikan kawasan tadahan air terpelihara dengan kelestarian semula dengan cara menanam semula pokok hutan," katanya.

Ditanya mengenai masalah alga di Empangan Sembrong Barat yang menjejaskan kerja memproses air bersih, Hasni berkata, Kerajaan Persekutuan sudah menyiapkan pembinaan Empangan Kahang bagi menggantikan peranan Empangan Sembrong Barat yang pada asalnya berperanan untuk mengairi kawasan pertanian.

Katanya, empangan itu mampu membekalkan 100 juta liter air sehari untuk dirawat menjadi air bersih untuk keperluan penduduk Kluang di samping bekalan air bersih dari Empangan Sembrong Timur.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X