Selasa, 5 September 2017 | 10:10am
PENGERUSI Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah. - Foto Muhammad Sulaiman

Peruntukan RM70,000 pulih tebing runtuh di Sik

SIK: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera RM70,000 untuk membaik pulih tebing runtuh serta jalan berlubang di laluan Gulau ke Belantik dekat Kampung Pinang di sini Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah, berkata daripada jumlah itu, RM50,000 diperuntukkan bagi kerja membaik pulih tebing runtuh dengan memasang sangkar batu setinggi enam meter bagi mengekang hakisan terus berlarutan.

"Selebihnya RM20,000 lagi ialah untuk membaiki semula jalan tar yang berlubang dan pecah di atas jambatan Kampung Charok Senduk yang terletak satu kilometer dari kawasan tebing runtuh itu," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik meninjau kawasan kejadian semalam yang turut disertai Ahli Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman serta Jurutera Daerah Sik, Shaiful Azhari Ahmad.

Untuk langkah keselamatan awal kepada pengguna jalan, syarikat konsesi mengambil pendekatan meletakkan kon keselamatan dan papan tanda di kawasan itu.

"Kita bertindak segera demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya yang lain memandangkan kawasan ini adalah cerun gaung yang agak dalam iaitu hampir tujuh meter.

"Kakitangan syarikat konsesi juga hadir untuk menutup runtuhan dengan penutup kanvas bagi mengelak hakisan terus berlaku sebelum kerja-kerja membaik pulih tebing dimulakan esok (hari ini) dan dijangka ia siap dalam tempoh dua minggu," kata Mohd Tajuddin.

Beliau berkata, hujan lebat yang berlaku lebih empat jam di kawasan itu menyebabkan aliran air dari bukit turun ke jalan dan menyebabkan hakisan sehingga tebing runtuh dan jalan berlubang.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Charok Senduk, Ibrahim Ismail, berkata penduduk bersyukur atas keprihatian wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan itu yang turun sendiri bagi menyelesaikan segera masalah yang dihadapi.

"Buat masa ini, orang ramai diminta berhati-hati ketika melalui laluan itu sementara projek membaik pulih tebing runtuh siap kerana ia mem laluan berselekoh dan menuruni kawasan berbukit," katanya.

Ibrahim berkata, walaupun tiada kejadian buruk berlaku langkah yang diambil pemimpin setempat harus dipuji kerana bertindak pantas untuk menyelesaikannya sebaik dimaklumkan kejadian itu demi kebaikan semua pihak.

- BERNAMA

Berita Harian X