Sabtu, 30 September 2017 | 1:04pm
AZIZ Abdullah, 47, mengangkat benih padi di ruangan stor bersebelahan rumahnya berikutan banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan rumah di Kampung Banggol Kambing, Pendang, minggu lalu. - Foto Sharul Hafiz Zam
PETUGAS Pusat Komuniti Cikgu Hashim Barokhas memindahkan barangan akibat banjir kilat sejak pagi semalam mengakibatkan empat kampung di daerah Padang Terap dinaiki air. - Foto Shahrizal Md Noor

Kelewatan RTB bukan punca banjir di Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menafikan dakwaan pembangkang bahawa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit lewat dijalankan sehingga mengakibatkan negeri ini dilanda banjir.

Sebaliknya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata berdasarkan laporan diterima Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kaji Cuaca, hujan yang luar biasa menjadi punca keadaan banjir di Kedah.

"Apa yang dilapor JPS dan agensi lain mereka memberitahu bahawa hujan turun luar biasa sehingga berlakunya banjir. Apabila berlakunya hujan luar biasa ia menyebabkan air laut pasang dan kita terpaksa tutup pagar utama milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kerana tak mahu ia mengalir ke sawah.

"Bukanlah 100 peratus disebabkan kelewatan RTB sebab faktor hujan sama. Namun, kita tak boleh menafikan bahawa RTB ini boleh menyelesaikan banjir apabila ia siap kelak seperti di Kuala Muda yang sudah selesai projek ini membabitkan kos RM1.4 bilion," katanya, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Bashah merasmikan Program Mesra Muafakat Syura Wanita UMNO yang turut dihadiri konvoi Salute Malaysia dan Presidennya, Datuk Rizal Mansor.


AHMAD Bashah (kanan) mengacau bubur asyura pada Program Mesra Muafakat Syura Wanita UMNO di pekarangan Flat Seri Gemilang, Mergong. - Foto Sharul Hafiz Zam

Sebelum ini, Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung, meminta kerajaan mempercepat RTB yang dijadual siap bulan ini bagi mengurangkan risiko banjir.

Minggu lalu, beberapa daerah di negeri ini khususnya Kota Setar, Kubang Pasu, Langkawi, Pokok Sena, Pendang dan Kuala Muda dilanda banjir sehingga mengakibatkan lebih 3,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Mengulas mengenai banjir yang berlaku di Langkawi dua minggu lalu, Ahmad Bashah berkata, keadaan itu sama sekali tidak menjejaskan kedatangan pelancong di pulau terbabit.

Beliau berkata, banjir yang berlaku di Langkawi bukan disebabkan masalah sistem perparitan, namun ia berikutan faktor air laut yang melimpah selepas menerima taburan hujan luar biasa.

"Langkawi ini memang kerajaan berbelanja bilion ringgit untuk prasaranannya, namun apabila berlaku air pasang kita tak boleh kawal kerana pulau ini dikelilingi oleh laut.

"Banjir yang berlaku di situ juga tidaklah menjejaskan pelancong untuk pergi ke tempat menarik yang ingin dilawati kerana mereka faham keadaan ini," katanya.

Sementara itu, Rizal berkata, beliau dan 400 sukarelawan Team Salute Malaysia akan menjalankan misi Pasca Banjir 2017 di Kedah dan Perlis sehingga esok bagi membantu mangsa banjir.

"Dua kumpulan ini dipecahkan bagi menjalankan misi di Pendang dan Kangar, Perlis termasuk melakukan kerja pembersihan rumah selain kita turut membawa pasukan doktor bagi membuat pemeriksaan kesihatan," katanya.

Berita Harian X