Ahad, 1 Oktober 2017 | 5:13pm
SEBAHAGIAN daripada kemudahan Pusat Bersalin Risiko Rendah (LRBC) di Hospital Alor Setar lama - Foto Kementerian Kesihatan.
SEBAHAGIAN daripada kemudahan Pusat Bersalin Risiko Rendah (LRBC) di Hospital Alor Setar lama - Foto Kementerian Kesihatan.
SEBAHAGIAN daripada kemudahan Pusat Bersalin Risiko Rendah (LRBC) di Hospital Alor Setar lama - Foto Kementerian Kesihatan
SEBAHAGIAN daripada kemudahan Pusat Bersalin Risiko Rendah (LRBC) di Hospital Alor Setar lama - Foto Kementerian Kesihatan

LRBC bantu kurang kesesakan kes bersalin

ALOR SETAR: Pusat Bersalin Risiko Rendah (LRBC) hasil inisiatif Jabatan Kesihatan Negeri Kedah memulakan operasinya secara rasmi di Hospital Alor Setar lama, dekat sini, hari ini.

Projek LRBC yang menelan kos RM865,000 diwujudkan bagi mengurangkan kesesakan terhadap penerimaan kes ibu bersalin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata sebanyak 16 katil disediakan di LRBC membabitkan bilik bersalin, antenatal dan postnatal.

Buat permulaan, katanya, sebanyak lapan katil membabitkan dua katil bersalin dan masing-masing tiga katil antenatal serta postnatal ditempatkan di LRBC.

"LRBC di Kedah yang ketiga selepas yang pertama dibuka di Putrajaya dan kedua di Kuantan.

"Apabila LRBC ini beroperasi sepenuhnya, ia dianggarkan dapat mengurangkan kesesakan di HSB kira-kira 20 peratus bagi kes ibu bersalin," katanya dalam kenyataan, di sini tadi.

Dr Norhizan berkata, LRBC dikendalikan oleh pegawai perubatan berpengalaman dan jururawat yang terlatih dengan garis panduan khusus turut disediakan bagi memastikan pengendalian kes dijalankan mengikut piawai.

Katanya, peralatan perubatan yang diperlukan turut disediakan bagi mengendalikan kelahiran ibu dan bayi.

"Semua ibu mengandung terutamanya di sekitar Kota Setar yang dibenarkan bersalin di LRBC ialah mereka yang melalui penilaian terperinci oleh Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan.

"Setelah menjalani penilaian, hanya ibu yang diklasifikasikan sebagai ibu yang berisiko rendah berhadapan dengan komplikasi semasa kelahiran dan selepas kelahiran sahaja dibenarkan bersalin di LRBC," katanya.

Beliau berkata, ibu yang ditetapkan untuk bersalin di LRBC akan melalui proses orientasi terlebih dahulu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di situ.

Berita Harian X