Ahad, 1 Oktober 2017 | 5:48pm
PENGERUSI Kolej Poly-Tech MARA, Ahmad Nazlan Idris (tiga kanan) beramah mesra dengan peserta pada program Taklimat Khas Moh Masuk KPTM di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Kampus cawangan baharu KPTM di Jerantut

KUALA TERENGGANU: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) akan membuka kampus cawangan baharunya di Jerantut, Pahang bagi menarik lebih ramai pelajar mengikut pengajian di kolej berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata kampus baharu akan dibina di kawasan seluas kira-kira lapan hektar.

Ketika ini, beliau berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"MARA bersetuju buka cawangan baharu KPTM di Jerantut, namun kita masih menunggu kelulusan peruntukan," katanya selepas program Moh Masuk KPTM bersama 160 pemimpin masyarakat, termasuk belia Parlimen Jerantut, di sini, hari ini.

Ketika ini, KPTM mempunyai lapan kampus cawangan, iaitu di Bangi, Selangor; Kuantan, Pahang; Kota Bharu dan KESEDAR Gua Musang, Kelantan; Alor Setar, Kedah; Batu Pahat, Johor; Ipoh, Perak dan Semporna, Sabah.

Sementara itu, Ahmad Nazlan berkata, KPTM menyediakan insentif khas kepada ejennya yang berjaya mendaftarkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti pengajian di institusi milik agensi itu di seluruh negara.

Katanya, insentif khas RM250 diberikan kepada setiap ejen yang mendaftarkan pelajar program pengajian peringkat diploma, ijazah (RM700) dan AS$1,000 atau kira-kira RM4,220 jika mendaftarkan pelajar antarabangsa.

Beliau berkata, ia bagi menghargai peranan ejen membantu mempromosi KPTM dan menarik pelajar, terutama yang kurang cemerlang dalam akademik untuk menyambung pengajian di KPTM.

Berita Harian X