Isnin, 9 Oktober 2017 | 3:49pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

Wajib agenda banteras dadah dalam mesyuarat JKKK - Idris Haron

AYER KEROH: Bermula bulan ini, semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan penduduk serta badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mesti menjadikan isu dadah sebagai agenda utama dalam mesyuarat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata langkah terbabit untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah serta usaha membanteras gejala berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengarahkan semua organisasi berkenaan supaya memberi fokus utama kepada agenda terbabit sebagai membuktikan tahap seriusnya kerajaan negeri untuk membasmi gejala dadah.

"Mereka perlu merangka usaha untuk membasmi kegiatan berkaitan dadah di kawasan mereka, selain mencari langkah terbaik untuk menyelesaikannya.

"Saya yakin usaha bersungguh-sungguh ini akan dapat memenuhi sasaran kita untuk menjadikan Melaka sebagai negeri yang bebas dadah," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini hari ini.

Perhimpunan yang dihoskan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar; EXCO Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim dan Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusof Kameh.

Sementara itu, Mohamad Yusof, berkata sejak tahun 2010, rekod AADK negeri menunjukkan jumlah penagih yang direkodkan ialah seramai 6,810.

"Kami sentiasa memastikan pengekalan kompetensi pada tahap yang optimum supaya semua fasiliti AADK yang terdapat di negeri ini mampu memberi perkhidmatan yang cemerlang dan mengurangkan kadar penagihan dadah di negeri ini.

"Lima objektif turut dibuat iaitu mencecah, merawat, memulihkan penagih, mencegah penagihan semula, membanteras bekalan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta kerjasama strategi pada peringkat antarabangsa," katanya.

Berita Harian X