Sabtu, 14 Oktober 2017 | 3:22pm
ADNAN (tengah) melawat gerai pameran pemeriksaan kesihatan secara percuma pada majlis perasmian gotong-royong Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) My Beautiful Neighbourhood (MyBN) di Dewan orang ramai Balok. - Foto Farizul Hafiz Awang

Aktiviti kemasyarakatan perlu berterusan

KUANTAN: Aktiviti kemasyarakatan dan amalan hidup sihat seperti gotong-royong perlu diadakan secara berterusan kerana ia boleh menjadi platform terbaik mengeratkan silaturahim, kerjasama serta membudayakan penjagaan kebersihan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata aktiviti seperti itu tidak boleh diadakan secara bermusim dan perlu diikuti dengan program lain supaya hubungan baik antara masyarakat kekal terpelihara.

"Program gotong-royong di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kawasan Kejiranan Indah (MyBN) yang diadakan dalam skala kecil dan kos rendah tetapi memberi hasil tinggi adalah antara program yang sangat memberi kesan baik dalam hubungan antara masyarakat setempat.

"Selain persekitaran menjadi bersih, ia juga memupuk perpaduan serta kerjasama antara semua pihak yang terbabit.


ADNAN (tengah) menanam pokok tanda simbolik perasmian gotong-royong Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) My Beautiful Neighbourhood (MyBN) di Dewan orang ramai Balok. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Program seperti ini tidak boleh buat sekali dan berhenti, ..sepatutnya ia diikuti dengan program lain yang berbentuk santai seperti sukan bola sepak atau futsal," katanya berucap merasmikan program NBOS MyBN di Balok di sini, hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Ketua Polis negeri, Datuk Rosli Ab Rahman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Fadzilla Salleh.

Kira-kira 500 penduduk menyertai program itu yang diadakan serentak di seluruh negara.

Adnan berkata, sikap mementingkan penjagaan kebersihan termasuk makanan dan persekitaran perlu dijadikan budaya dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan kualiti dalam kehidupan seharian.

Berita Harian X