Khamis, 19 Oktober 2017 | 2:18pm

Anugerah kepada pelapor rasuah

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menggalakkan jabatan dan agensi kerajaan memberi pengiktirafan dan anugerah kepada kakitangan yang membuat laporan rasuah.

Pengarahnya, Datuk Moh Samsudin Yusoff, berkata tindakan itu bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan melaporkan jenayah rasuah di jabatan dan agensi masing-masing.

"Apabila ramai pihak yang membuat laporan, ini dapat mengelakkan berlakunya tawaran rasuah di masa hadapan," katanya ketika ditemui di Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Auditorium KADA, Lundang di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi KADA, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Seramai 120 pegawai KADA di peringkat pengurusan dan penyelia seperti pengarah bahagian, pegawai kanan, jurutera dan juruteknik melafaz ikrar anti rasuah yang diketuai Pengurus Besar, Mohd Ridzuan Ismail.

Moh Samsuddin berkata, pihaknya juga menggalakkan laporan rasuah dibuat oleh orang awam dengan menggerakkan lebih ramai ahli di kalangan Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang kini mencecah bilangan seramai 3,000 ahli.

Katanya, kegagalan melaporkan rasuah boleh didenda RM100,000 di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Md Alwi berkata, ikrar sukarela yang dilakukan pegawai dan kaki tangan KADA adalah menunjukkan sikap serius jabatannya dalam menangani gejala rasuah.

Katanya, lafaz dan ikrar itu akan diteruskan secara berperingkat membabitkan lebih 1,000 kakitangan yang lain di masa akan datang.

Berita Harian X