Sabtu, 28 Oktober 2017 | 11:50am

Saluran paip pecah jejas jadual komuter

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter mengalami gangguan waktu perjalanan hari ini berikutan saluran paip air pecah di Km 390.800 landasan kereta api laluan antara Stesen Salak Selatan dan KL Sentral.

Susulan insiden yang berlaku petang semalam, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, hanya satu landasan boleh digunakan kerana landasan yang terjejas ditutup bagi memberi laluan kepada kerja baik pulih.

"Perkhidmatan tren KTM Komuter bagi laluan Batu Caves-Tampin/Pulau Sebang-Batu Caves akan beroperasi dengan jangkaan kelewatan antara 20 hingga 30 minit.

"Tren KTM Komuter di laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim pula akan beroperasi dengan jangkaan kelewatan di antara 10 hingga 20 minit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, KTMB memaklumkan operasi perkhidmatan tren dijangka kembali pulih pada jam 8 malam ini.

KTMB memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami dan sebarang perkembangan terkini berkaitan perkhidmatan tren akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau layari twitter KTM Berhad di @ktm_berhad. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X