Ahad, 29 Oktober 2017 | 12:44pm
DATUK Masidi Manjun (lima dari kanan) menyempurnakan acara pelepasan Borneo Safari 2017 di pekarangan bangunan Lembaga Kebudayaan Sabah (STB) di Kota Kinabalu.- Foto Malai Rosmah Tuah
DATUK Masidi Manjun (lima dari kanan) menyempurnakan acara pelepasan Borneo Safari 2017 di pekarangan bangunan Lembaga Kebudayaan Sabah (STB) di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Tambah peserta antarabangsa

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyasarkan lebih ramai penyertaan dari luar negara dalam Borneo Safari Sabah sebagai usaha memperkenalkan keindahan alam semula jadi negeri ini kepada pengunjung luar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata program mencintai flora dan fauna itu dilihat antara platform terbaik bagi memberi pengetahuan dan pengalaman menarik kepada peserta, sekali gus mempromosikan Sabah ke mata dunia.

"Tahun ini kira-kira 80 peserta antarabangsa daripada lapan negara mengikuti acara ini termasuk China, Indonesia, Thailand, Jepun, Brunei dan Itali.

"Walaupun jumlah peserta luar ini sedikit, namun ia bertambah setiap tahun dan ini menunjukkan semakin ramai peserta tempatan mahupun luar negara berminat mengikuti program seumpama ini.

"Rugi sekiranya kita tidak memanfaatkannya untuk menarik lebih ramai pelancong ke Sabah," katanya kepada media selepas menyempurnakan pelepasan peserta Borneo Safari Sabah di pekarangan bangunan Lembaga Kebudayaan Sabah (STB) di sini, hari ini.

Program berlangsung sehingga 5 November ini yang dianjurkan buat kali ke-27 disertai 1,128 peserta tempatan dan antarabangsa menggunakan 412 kenderaan pacuan empat roda merangkumi perjalanan sejauh 200 kilometer.

Masidi berkata, penganjuran kegiatan lasak seperti Borneo Safari Sabah seiring dengan hasrat STB yang mahu memberi fokus pelancongan domestik tahun depan.

"Kita berharap lebih banyak aktiviti berasaskan domestik dapat dilaksanakan tahun hadapan sama ada oleh pihak kerajaan atau swasta kerana langkah ini bukan sahaja boleh meningkatkan pelancongan negeri ini, malah menjana ekonomi pengusaha pelancongan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Borneo Safari Sabah, Faez Ainstein Nordin, berkata selain konvoi pancuan empat roda, sebanyak 20 kenderaan akan bertanding mengharungi cabaran ketika berada dalam hutan.

"Pemilihan daerah Papar sebagai lokasi utama tahun ini memberi pendedahan mengenai keindahan alam semula jadi di daerah ini kerana masih ramai tidak tahu Papar memiliki suasana persekitaran hutan yang masih terpelihara dan sesuai untuk aktiviti sukan lasak," katanya.

Berita Harian X