Ahad, 19 November 2017 | 6:04pm
DATUK Wan Nawawi Wan Ismail (kiri) semasa mesyuarat Persiapan Menghadapi Bencana Banjir Terengganu di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
DATUK Wan Nawawi Wan Ismail (kiri) semasa mesyuarat Persiapan Menghadapi Bencana Banjir Terengganu di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Terengganu belanja RM3 juta hadapi banjir

KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM3 juta sudah dibelanjakan kerajaan negeri bagi persediaan menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, berkata persiapan itu antaranya membabitkan persiapan di 553 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri dan bekalan makanan di 142 pangkalan hadapan.

"Kerajaan negeri ada menyediakan peruntukan untuk menghadapi bencana terutama banjir, namun jumlah itu boleh jadi lebih, boleh jadi kurang, ia bergantung kepada situasi semasa musibah. Kita tidak tetapkan jumlah khusus untuk menghadapi banjir.

"Pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (PBBN) hari ini, saya sudah arahkan pegawai daerah selaku Pengerusi Bencana Daerah (PBD) untuk memastikan semua PPS dalam keadaan sempurna dan segala kos penyelenggaraannya ditanggung kerajaan negeri," katanya selepas Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri, di sini, sebentar tadi.

Wan Nawawi berkata, setakat ini kerajaan negeri berpuas hati dengan langkah awal diambil Sekretariat PBD di seluruh negeri bagi menghadapi bencana banjir.

"Melihat kepada persediaan ini, kita sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka berlaku pada bila-bila masa di negeri ini.

"Bagaimanapun, kita meminta Jabatan Meteorologi mengemas kini keadaan cuaca semasa supaya masyarakat bersedia jika berlaku banjir, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu memastikan tindakan yang dirancang dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, tinjauannya di lokasi kerap banjir terutama di Ajil dan Kuala Berang di Hulu Terengganu mendapati aliran air di sungai berdekatan sangat baik dan dijangka mampu menampung peningkatan paras air jika berlaku hujan lebat di kawasan terbabit.

Selain itu, berdasarkan laporan Mesyuarat Jawatankuasa PPBN yang dikeluarkan, seramai 2,869 pegawai dan anggota keselamatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bersiap sedia menghadapi bencana banjir.

Berita Harian X