Khamis, 23 November 2017 | 3:38pm
PENGARAH Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Seri Afandi Hamzah menandatangani plak perasmian Jom Kitar Semula di Program Hero Jaga Bumi di Sekolah Kebangsaan (SK) Chabang Empat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kitar semula kurangkan kos pelupusan sisa pepejal

TUMPAT: Dianggarkan sebanyak 38,000 tan sehari sisa pepejal dihasilkan di negara ini mengatasi sasaran yang ditetapkan menjelang 2020 iaitu 33,000 tan.

Kajian terbaharu itu dibuat oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang menggesa orang ramai agar menjalankan kitar semula dengan lebih aktif.

Pengarah SWCorp, Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata pembuangan sisa pepejal bertambah selari dengan pertambahan populasi penduduk.

"Tidak semua sisa buangan boleh dilupuskan dan ada sebahagiannya boleh diguna semula melalui proses kitar semula dan ini mampu mengurangkan kos pelupusan.

"Selain boleh memanjangkan jangka hayat pelupusan, program kitar semula yang dibuat mampu memberi pulangan pendapatan," katanya selepas perasmian Jom Kitar Semula dan Program Hero Jaga Bumi di Sekolah Kebangsaan Chabang Empat di sini, hari ini.

Beliau berkata dengan pembabitan program kitar semula yang aktif, dianggarkan kira-kira 22 peratus daripada sasaran 33,000 tan sehari menjelang 2020 akan dicapai.

Bagi pembabitan di peringkat sekolah, sebanyak 30 sekolah rendah dan menengah di negeri ini terbabit dalam program kitar semula dan lima daripadanya sangat aktif.

Bagi sekolah yang aktif, pihak SWCorp memberi penghargaan dengan lukisan mural di dinding sekolah yang bertemakan keindahan alam sekitar termasuk SK Chabang Empat.

Guru Besarnya, Che Awang Che Amat, berkata setiap minggu sebanyak 200 hingga 300 tan sampah (sisa pepejal) dikumpulkan oleh murid dan dijual kepada vendor.

"Bukan saja sampah dari sekolah, murid turut membawa yang mereka kumpul dari rumah antaranya tin, kertas dan botol untuk dijual.

"Selain memperoleh pendapatan sampingan, didikan supaya sayangkan alam sekitar dapat dipupuk dari situ," katanya.

Berita Harian X