Selasa, 28 November 2017 | 5:37pm
PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (tengah) bersalaman bersama tetamu di Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia 2017 di Dewan Jubli Intan Bangunan Sultan Ibrahim, Muar. - Foto NSTP/Adi Safri

Ambil tahu kes jenayah pedofilia - Permaisuri Johor

MUAR: Semua pihak dalam masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perlu memainkan peranan dengan mengambil tahu dan berganding bahu bagi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah pedofilia.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan pendidikan seksual yang asas seperti memaklumkan bahagian badan yang tidak boleh disentuh dan dilihat orang lelaki, termasuk ahli keluarga sendiri.

"Pendidikan seksual seperti ini sebenarnya perlu dihebahkan kepada kanak-kanak seawal usia empat atau lima tahun. Ini kerana mereka masih tidak dapat menilai bentuk gangguan seksual.

"Oleh itu, kita sebagai ibu bapa, penjaga atau guru perlu selalu mengingatkan anak mengenai kepentingan menjauhi bentuk gangguan seksual seperti ini termasuk cara menyelamatkan diri," titah baginda.


Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (dua dari kanan) berkenan menerima cenderamata di Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia 2017 di Dewan Jubli Intan Bangunan Sultan Ibrahim, Muar.- Foto NSTP/Adi Safri

Baginda bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia 2017, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pegawai Daerah Muar, Onn Jabbar.

Seramai 600 peserta yang terdiri daripada penjawat awam, ahli NGO, pemimpin masyarakat dan guru menyertai seminar anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim itu.

Raja Zarith Sofiah bertitah, semoga dengan pelaksanaan seminar ini memberi pendedahan kepada rakyat Johor mengenai pedofilia dan bersama mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membanteras serta menangani jenayah ini demi keselamatan anak-anak kita.

Berita Harian X