Jumaat, 1 Disember 2017 | 3:25pm
KEADAAN banjir yang melanda tabika KEMAS di Kampung Teluk Jering. - Foto Siti Rohana Idris
KEADAAN banjir yang melanda tabika KEMAS di Kampung Teluk Jering. - Foto Siti Rohana Idris
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Amiruddin Ariffin (dua kiri) melawat tabika KEMAS di Kampung Teluk Jering yang ditenggelami banjir. - Foto Siti Rohana Idris
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Amiruddin Ariffin (dua kiri) melawat tabika KEMAS di Kampung Teluk Jering yang ditenggelami banjir. - Foto Siti Rohana Idris
DATUK Amiruddin Ariffin (lima kanan) melawat tabika KEMAS di Kampung Teluk Jering yang ditenggelami banjir. - Foto Siti Rohana Idris
DATUK Amiruddin Ariffin (lima kanan) melawat tabika KEMAS di Kampung Teluk Jering yang ditenggelami banjir. - Foto Siti Rohana Idris

71 tabika KEMAS di Kelantan ditenggelami banjir

TUMPAT: Sebanyak 71 tabika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh daerah di negeri ini kecuali Kuala Krai dan Gua Musang ditenggelami banjir.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Amiruddin Ariffin, berkata disebabkan keadaan banjir yang masih lagi membimbangkan, beliau menjangkakan lebih banyak tabika akan tenggelam.

"Setakat ini kita sudah mengenal pasti tiada sebarang kerosakan serius akibat banjir, namun saya meminta semua pemimpin masyarakat bersiap sedia jika berlaku gelombang kedua.

"Selepas banjir surut nanti kita jangka banyak perabot dan bangunan yang akan terjejas dan kita akan membuat anggaran kerugian secepat mungkin," katanya ketika ditemui selepas melawat sebuah tabika KEMAS di Kampung Teluk Jering yang ditenggelami banjir, hari ini.

Amiruddin berkata, untuk operasi pembersihan selepas banjir nanti, pasukan sukarelawan KEMAS akan dikerahkan bagi membantu pemaju masyarakat untuk melakukan gotong-royong.

Sementara itu, Pemaju Masyarakat Tabika Kampung Teluk Jering, Rokiah Senik, berkata setiap kali banjir tabika itu akan ditenggelami banjir dan keadaan itu sudah biasa selepas berkhidmat sejak lebih 30 tahun.

Katanya, sebagai persediaan menjelang banjir, beliau yang dibantu beberapa kakitangan akan menyusun meja bagi meletakkan peralatan penting termasuk barang elektrik.

"Dalam masa setahun, dua kali banjir akan melanda iaitu awal tahun dan penghujung tahun.

"Beberapa hari terakhir sebelum cuti sekolah hujung tahun kami sudah mula bersiap sedia mengemas segala perkakas dan diletakkan di tempat tinggi iaitu di atas meja murid yang disusun tinggi," katanya.

Berita Harian X