X
Jumaat, 8 Disember 2017 | 5:08pm

Sukarelawan APM untuk operasi banjir

SANDAKAN: Seramai 2,507 daripada 180,106 anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedia dikerah untuk menghadapi banjir di Sabah, berikutan ramalan banjir akibat monsun timur laut.

Timbalan Pengarah APM Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud, berkata selain itu seramai 151 anggota sokongan dikerah melaksanakan tugas pejabat, manakala 306 anggota lagi ditugaskan memantau operasi pusat kawalan banjir.

Katanya, cuti bagi semua pegawai APM juga dibekukan atas arahan pengurusan tertinggi sejak awal bulan ini sehingga musim monsun timur laut yang biasanya berlaku banjir berakhir pada Mac tahun depan.

"Selain di peringkat negeri, mesyuarat jawatankuasa bencana di peringkat daerah juga sudah dilakukan dan latihan simulasi berdepan banjir di enam daerah berisiko iaitu Tenom, Beaufort, Tuaran, Kota Marudu, Kota Belud dan Pitas sudah dibuat.

"Walaupun tumpuan di kawasan berisiko banjir, anggota di daerah lain juga bersiap-siaga 24 jam jika berlaku bencana," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Mohd Izaimi berkata, APM mempunyai 49 aset darat membabitkan lori, ambulans, van dan pacuan empat roda, manakala 32 bot dan jet ski untuk kegunaan di air bagi membantu melicinkan operasi bantuan jika berlaku banjir.

Selain itu, katanya, pihaknya dijangka menerima empat lagi kenderaan pacuan empat roda daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), tidak lama lagi.

"Kita juga ada tiga unit bot baharu jenis Sealegs yang akan digunakan jika berlaku banjir.

"Susulan banjir yang berlaku di Kota Belud baru-baru ini, NADMA juga menambah 400 unit khemah kecil yang akan disediakan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan," katanya.

Mohd Izaimi berkata, pihaknya juga sudah mengagihkan 1,700 unit kit makanan permulaan di daerah berisiko dilanda banjir untuk keperluan mangsa banjir.

Berita Harian X