Jumaat, 15 Disember 2017 | 11:57am
Foto hiasan

Tiada permohonan naikkan tambang bas sekolah

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah tidak menerima permohonan untuk menaikkan kadar tambang bas sekolah daripada pengusaha di negeri ini bagi sesi persekolahan 2018.

Pengerusinya, Datuk Raimie Unggi, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang rungutan berkaitan kadar tambang itu.

Justeru, pihaknya akan mengekalkan kadar lama tambang sejak dikuatkuasakan pada 2009 dan mahu semua pengusaha mematuhinya.

"Setakat ini LPKP tidak menerima sebarang permohonan daripada pengusaha atau pihak yang berkaitan untuk menaikkan tambang bas sekolah.

"Kita beranggapan semua pengusaha dan ibu bapa bersetuju dengan kadar sekarang," katanya mengulas mengenai penetapan tambang bas sekolah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenom, berkata kadar tambang bas sekolah di Sabah ketika ini adalah antara RM34.30 hingga RM137.30 sebulan bagi seorang pelajar mengikut jarak pergi dan balik.

Bagaimanapun, Raimie berkata, pihaknya sentiasa terbuka menerima sebarang permohonan menaikkan kadar tambang namun semua permohonan itu perlu dikaji sebelum keputusan dibuat.

Bagaimanapun, katanya bas sekolah berhawa dingin dibenarkan mengenakan kadar tambang tambahan tidak melebihi 30 peratus daripada jumlah tambang bagi bas sekolah yang tidak berhawa dingin.

Berita Harian X