Ahad, 17 Disember 2017 | 11:27pm
PARA Atlet Terengganu bergambar bersama selepas menerima insentif kejayaan Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 yang disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Hotel Primula Beach malam ini. - Foto Ghazali Kori
SULTAN Mizan Zainal Abidin (kiri) diiringi AHMAD Razif Abd Rahman (dua dari kiri) berkenan menyampaikan insentif kepada Atlet Badminton Para ASEAN NEGARA, Mohd Ikhwan Ramli (berkerusi roda) pada Majlis Penyampaian Insentif Kejayaan Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 di Hotel Primula Beach. - Foto Ghazali Kori

Sultan Terengganu terima insentif Sukan SEA

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang memperolehi pingat emas dalam acara kuda lasak pada Sukan SEA 2017 lalu, menerima insentif sebanyak RM5,500 pada majlis penyampaian insentif kejayaan atlet pada temasya itu sebentar tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyampaikan insentif itu kepada Sultan Mizan.

Turut hadir pada majlis itu adalah Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Mohd Zuber Embong; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Jaguh lumba basikal negara, Fatehah Mustapa penerima insentif terbanyak iaitu berjumlah RM18,000 selepas memperoleh empat pingat emas dalam acara sprint berpasukan, sprint, keirin dan acara 500 meter.

Zuhairie Ahmad Tarmizi yang memperoleh tiga pingat emas dan satu perak dalam acara berbasikal pada temasya PARA Asean 2017 pula menerima insentif berjumlah RM18,500.


SULTAN Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan insentif kepada Atlet Berbasikal Para ASEAN Negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi pada Majlis Penyampaian Insentif Kejayaan Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 di Hotel Primula Beach. - Foto Ghazali Kori

Anugerah kepimpinan persatuan cemerlang pula dimenangi Wan Nawawi yang juga Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia pula menerima insentif sebanyak RM5,000 selepas pasukan itu berjaya memperoleh tujuh emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukan Sea 2017.

Turut menerima anugerah kepimpinan persatuan cemerlang adalah Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, A Razak Mat Amin selepas pasukan itu berjaya mengutip 13 pingat emas, sembilan Perak dan dua gangsa.

Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Zainal Abidin Hussin dari Persatuan Lumba Basikal Terengganu turut menerima anugerah kepimpinan persatuan cemerlang apabila pasukan itu berjaya menyumbangkan 13 pingat emas, 10 perak dan tiga gangsa.

Sultan Mizan berkenan menyampaikan insentif kepada semua pemenang pingat emas manakala Ahmad Razif menyampaikan kepada pemenang pingat perak dan gangsa. 

Pada Sukan Sea 2017 Ogos lalu, semua atlet negeri berjaya menyumbangkan sebanyak 26 pingat emas, perak (16) dan gangsa (14) manakala atlet Para Asean pula berjaya menyumbangkan tujuh pingat emas, perak (12) dan 11 gangsa.

Berita Harian X