Rabu, 20 Disember 2017 | 7:22pm
REKTOR UiTM Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali (tengah) ketika menghadiri Majlis Pra Graduan Sesi Disember 2017 - Januari 2018 UiTM Sarawak di Kuching. - Foto Sandra Albertz
REKTOR UiTM Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali (tengah) ketika menghadiri Majlis Pra Graduan Sesi Disember 2017 - Januari 2018 UiTM Sarawak di Kuching. - Foto Sandra Albertz

Manfaatkan kelebihan ekonomi digital

KUCHING: Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak diingatkan agar tidak terlalu bergantung kepada sektor pekerjaan konvensional sejurus menamatkan pengajian, sebaliknya menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

Rektor UiTM Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali, berkata menjadi hasrat institusi itu melihat graduannya menjadi pihak yang mencipta dan menawarkan pekerjaan, malah bukan sekadar menjadi golongan 'pencari kerja' semata-mata.

"Selain daripada mengharapkan untuk mencari pekerjaan selepas tamat pengajian di UiTM, kita juga ingin melihat lebih ramai graduan yang mencipta peluang pekerjaan dengan menjadi usahawan dan menawarkan peluang pekerjaan kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pra Graduan Sesi Disember 2017 - Januari 2018 UiTM Sarawak, di sini.

Jamil menjelaskan tidak mustahil bagi graduan UiTM Sarawak menjadi usahawan berjaya dan menawarkan peluang pekerjaan kerana sudah ramai lepas universiti itu berjaya melakukannya sebelum ini.

Ini termasuk Ikon Fesyen Negara, Datuk Tom Abang Saufi yang menjadi jemputan pada majlis terbabit supaya dapat menjadi sebagai satu motivasi kepada pelajar universiti terbabit yang bakal bergraduan untuk mempelopori bidang keusahawanan.

"Tidak mustahil untuk anda (graduan UITM Sarawak) berjaya mencipta nama seperti tetamu jemputan kita pada malam ini, Datuk Tom Abang Saufi dan ambillah peluang untuk mendengar sendiri pengalaman beliau dalam mempelopori bidang keusahawanan," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pelajar UiTM Sarawak supaya tidak hanya terlalu menumpukan untuk terampil dalam akademik ketika menuntut di universiti itu, sebaliknya perlu muncul sebagai modal tenaga insan yang dinamik, termasuk dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Sementara itu, bagi memacu kepesatan negeri ini ke tahap lebih tinggi, UiTM Sarawak menggandakan usaha bagi meningkatkan dan menambahbaik potensi pembangunan pelajarnya supaya dapat menjadi golongan muda yang memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran, terutama dalam era kecanggihan ekonomi digital.

"Ini termasuk penyediaan Makmal Dataraya di Kampus UiTM Samarahan 2. Ia dilancarkan secara serentak di beberapa kampus UITM seluruh negara melalui 'live streaming' oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pada 29 Oktober lalu.

"Kita berharap kemudahan itu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan kursus membabitkan penggunaan dataraya serta mendokong Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022, terutama dalam penyelidikan dan pembangunan bidang berteraskan ekonomi digital," katanya. 

Berita Harian X