Khamis, 21 Disember 2017 | 11:51am
SERAMAI 50 kakitangan syarikat makanan segera terkemuka, McDonald's Malaysia menyertai Program Gotong-Royong Komuniti membersihkan Masjid Jamek Kampung Kempadang dan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kempadang, Kuantan hari ini. - Foto Asrol Awang

Projek CSR bersihkan masjid

KUANTAN: Lebih 50 kakitangan restoran makanan segera, McDonald's Malaysia menyertai Program Gotong-Royong Komuniti membersihkan Masjid Jamek Kampung Kempadang dan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kempadang, di sini, hari ini.

Program membabitkan enam restoran McDonald's di Kuantan dan Pekan itu sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bagi mendekati dan berbakti kepada masyarakat.

Pengurus Besar Restoran McDonald's Riverfront Kuantan, Abdul Razak Kamaruddin berkata, menerusi program itu mereka membersihkan tanah perkuburan, persekitaran dan ruang solat masjid di kampung berkenaan.

"Kami menceriakan masjid dengan mengecatnya bergantung kepada keputusan jawatankuasa masjid.

"Saya bangga dengan komitmen 50 kakitangan daripada enam restoran di Kuantan dan Pekan kerana sanggup turun padang bersama menjayakan program ini," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Penyelia Masjid Jamek Kampung Kempadang, Ahmad Samah, berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang sumbangan bukan saja dari segi tenaga, malah barangan.

"Kami bersyukur apabila ada pihak memilih masjid dan tanah perkuburan di Kampung kempadang ini untuk menghulurkan sumbangan," katanya.

Berita Harian X