Jumaat, 5 Januari 2018 | 4:26pm
PENDUDUK Kampung Gunung Ngeli, Siew Jin Fatt menunjukkan air bersih yang keluar dari Tangki M1 Life Saver. - Foto Sandra Albertz
PENDUDUK Kampung Gunung Ngeli, Siew Jin Fatt menunjukkan air bersih yang keluar dari Tangki M1 Life Saver. - Foto Sandra Albertz

Tangki M1 Life Saver `penyambung nyawa'

SIMUJAN: Masyarakat pedalaman dan luar bandar di Sarawak berharap sistem penapisan air terawat, Tangki M1 Life Saver, dibekalkan kepada mereka bagi menangani masalah bekalan air bersih di kawasan terbabit.

Peralatan itu juga mampu mengelak kebergantungan terhadap air sungai atau air bukit yang semakin tercemar disebabkan aktiviti penerokaan hutan, khusus bagi kegiatan pertanian dan pembalakan.

Tinjauan BH mendapati, peralatan itu sudah dibekalkan ke beberapa penempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan, di sini atas inisiatif wakil rakyatnya, yang digunakan sepenuhnya bagi menapis air hujan sebagai air bersih untuk kegunaan harian.

Penduduk Kampung Gunung Ngeli, Siew Jin Fatt, 59, berkata kawasan itu dibekalkan sistem penapis air sejak 2016, sekali gus membantu memudahkan kehidupan komuniti setempat, terutama bagi mendapatkan bekalan air minuman.

"Kita tidak lagi menggunakan air bukit atau air sungai selepas adanya sistem penapis ini. Sebaliknya, kita menggunakan air hujan yang ditapis menggunakan sistem ini, malah airnya lebih jernih dan tidak dicemari seperti air sungai atau air bukit," katanya.

Beliau yang juga seorang petani, berkata sumber air dari bukit berhampiran kini diragui tahap kebersihannya, lebih-lebih lagi kawasan bukit berkenaan sudah banyak diteroka bagi aktiviti pertanian, termasuk penggunaan racun yang dikhuatiri mencemari punca sumber.

"Selepas setahun bergantung kepada sumber air ditapis itu, keluarga kami tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan. Malah, sistem penapis air itu juga berfungsi dengan baik dan tahan lasak," katanya.

Justeru, Jin Fatt berharap pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dapat memperluaskan penggunaan sistem penapis berkenaan, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar yang masih belum menerima bekalan air bersih di negeri ini.

Berharga RM41,000 seunit, sistem penapisan menggunakan teknologi Eropah itu mampu menapis air dari segala kotoran, termasuk bakteria.

Dengan kapasiti pemprosesan sehingga dua juta liter air pada satu-satu masa, sekali gus mampu menampung keperluan sesebuah kawasan penempatan.

 

 

Berita Harian X