Rabu, 10 Januari 2018 | 5:13pm
KETUA Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, Abdul Karim Mohd Sham memilih anak penyu untuk dilepaskan ke laut.

320 penyu agar mendarat di Cherating tahun lalu

KUANTAN: Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, dekat sini, mencatat pendaratan 320 penyu jenis agar yang menghasilkan sebanyak 28,177 telur, sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 19,565 telur berjaya ditetaskan di pusat penetasan khas sebelum dilepaskan ke laut secara berperingkat.

Beliau berkata, jumlah pendaratan penyu tertinggi dalam tempoh tujuh tahun dicatat pada tahun 2016, iaitu 592 dengan menghasilkan 53,112 telur dan sebanyak 31,652 berjaya ditetaskan mengikut jadual.

Katanya, jumlah pendaratan penyu setiap tahun di PKPP Cherating tidak menentu disebabkan beberapa faktor seperti keadaan laut, ancaman daripada nelayan dan faktor semula jadi.

"Aktiviti pelepasan anak penyu oleh pelancong dan murid sekolah lebih banyak dapat diadakan sekiranya jumlah penyu jenis agar yang mendarat di PKPP bertambah dan menghasilkan banyak telur setiap tahun.

"Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu yang diadakan setiap tahun di PKPP Cherating dapat menambahkan jumlah pendaratan penyu agar dan karah pada masa akan datang," katanya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Azahari berkata, seramai 80,603 pelancong tempatan dan asing datang ke PKPP Cherating untuk melihat pameran hidupan laut dan menyertai aktiviti melepaskan anak penyu, sempena Tahun Melawat Pahang 2017 yang lalu.

Beliau berkata, seramai 69,564 daripadanya adalah pengunjung tempatan dan selebihnya pelancong asing yang datang untuk bercuti di negara ini, selepas berkunjung ke Terengganu dalam perjalanan pulang mereka singgah di PKPP.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke PKPP Cherating sempena Tahun Melawat Pahang 2018, antaranya dengan mengadakan aktiviti melepaskan anak penyu ke laut.

"Pihak yang ingin mengadakan program boleh berhubung dengan pegawai PKPP, pelbagai kemudahan terdapat PKPP seperti tapak khemah, dewan dan surau dan dewan," katanya yang akan terus mengadakan promosi PKPP.

Berita Harian X