Jumaat, 12 Januari 2018 | 2:19pm
DATUK Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) bersama Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Gusti Lengan Premier 101 Sarawak 2018 di Kuching.- Foto Azmil Sulaiman
DATUK Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) bersama Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Gusti Lengan Premier 101 Sarawak 2018 di Kuching.- Foto Azmil Sulaiman

Sarawak tumpu promosi pelancongan sukan

KUCHING: Sarawak bersedia menjadi tuan rumah lebih banyak acara sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa bagi membantu mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata segmen pelancongan sukan antara yang diberikan tumpuan oleh kementeriannya tahun ini kerana keupayaannya meningkatkan jumlah kunjungan pelancong dan perolehan pendapatan negeri.

"Contohnya, Pertandingan Gusti Lengan Antarabangsa Premier 101 Sarawak 2018 yang dijadual berlangsung di bandar raya Kuching tidak lama lagi diyakini memberi impak positif kepada sektor pelancongan Sarawak.

"Ia terbukti dengan penyertaan 500 atlet tempatan dan asing membabitkan lebih 20 negara Asia serta Eropah. Ini cukup baik kesannya terhadap pertumbuhan industri pelancongan negeri," katanya pada sesi promosi Pertandingan Gusti Lengan Antarabangsa Premier 101 Sarawak 2018, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Dr Ong Kong Swee dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Gusti Lengan Antarabangsa Premier 101 Sarawak 2018, Stephen Kee.

Selain Malaysia, turut menghantar penyertaan ialah Filipina, Amerika Syarikat, Australia, Kazakhstan, Thailand, Vietnam, Russia, Jepun, Korea Selatan, Belarus, India, Nigeria, Indonesia, Brunei, China, Taiwan, Itali, Turki, New Zealand dan Ukraine.

Abdul Karim berkata, dengan penganjuran edisi pertama itu, ia bakal memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri.

"Justeru, kita mengalu-alukan penganjuran lebih banyak pertandingan seumpamanya dalam skala lebih besar kerana pelancongan sukan antara platform berpotensi untuk membantu perkembangan industri pelancongan kita," katanya.

Dianjurkan Kelab Komuniti Premier 101 dan Persatuan Sukan Lengan Sarawak (SASA), pertandingan itu dijadualkan berlangsung di pusat beli-belah Premier 101, Jalan Tun Jugah, di sini.

Abdul Karim berkata, sebanyak lapan kategori dipertandingkan yang menawarkan hadiah berjumlah lebih RM30,000 untuk dimenangi.

Beliau berkata, kehadiran jaguh gusti lengan dunia, Devon Larrat bakal memeriahkan kejohanan julung kali diadakan itu.

Berita Harian X