Isnin, 15 Januari 2018 | 5:38pm
NORMAZITA Yahya Long (duduk kanan) beramah mesra serta menyampaikan sumbangan kepada sebahagian daripada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, Pekan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

McD agih kotak makanan, tuala kepada mangsa banjir

PEKAN: Keceriaan jelas terpancar pada wajah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Lamir di sini, apabila diraikan dengan kotak makanan dan tuala sumbangan daripada McDonald's Malaysia.

Perunding Operasi McDonald's Cawangan Kuantan, Normazita Yahya Long, berkata 140 kotak berisi makanan dan tuala diserahkan kepada semua mangsa banjir di dua PPS daerah Pekan iaitu SK Kampung Lamir dan SK Temai.

"Kami juga menyediakan 40 beg dan peralatan persekolahan untuk anak-anak mangsa banjir sebagai tanda sokongan kepada semangat mereka meneruskan persekolahan walaupun terpaksa duduk di pusat pemindahan banjir.

"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa serta menceriakan hari mereka walaupun sedih mengenangkan rumah dan harta benda musnah ditenggelami air," katanya ketika ditemui sewaktu menyerahkan sumbangan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Restoran McDonald's Riverfront, Kuantan, Abdul Razak Kamaruddin.

Normazita berkata, pihaknya bersimpati dengan keadaan semasa mangsa banjir di pusat pemindahan sejak lebih seminggu lalu.

"Kita harapkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dapat juga mengurangkan tekanan kepada mangsa banjir di PPS ini," katanya.

Berita Harian X