Isnin, 15 Januari 2018 | 11:21pm

Banjir di Pahang semakin pulih

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di daerah Pekan yang masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan berikutan cuaca yang semakin baik dan cerah sejak semalam di negeri ini.

Setakat jam 11 malam ini, seramai 477 orang daripada 120 keluarga masih berada di pusat pemindahan berbanding 619 orang daripada 145 keluarga, petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata tiga PPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara yang menempatkan seramai 375 mangsa daripada 94 keluarga; SK Temai (93 orang, 24 keluarga) dan SK Aceh (9 orang, 2 keluarga).

"Dua PPS iaitu SK Merchong Jaya yang menempatkan 87 orang daripada 17 keluarga ditutup jam 3 petang manakala Pusat Pemindahan Kampung Lamir yang mempunyai 55 orang daripada lapan 8 keluarga ditutup jam 5 petang," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua tiga PPS di Rompin pula ditutup secara berperingkat bermula pagi tadi selepas banjir di daerah berkenaan sudah kembali surut.

"PPS Balai Raya Setajam yang menempatkan seramai 127 orang daripada 33 keluarga ditutup jam 10 pagi, SK Tekek yang mempunyai seramai 63 orang daripada 15 keluarga ditutup jam 3 petang dan Dewan Serbaguna Desa Wawasan Kampung Pianggu (37 mangsa, 12 keluarga) jam 10.30 pagi," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my hingga jam 5 petang, hanya Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan melepasi paras bahaya atau merah iaitu dengan bacaan 10.40 meter.

Berita Harian X