Khamis, 18 Januari 2018 | 3:32pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua dari kanan) ketika melihat lapan buah bas elektrik yang disediakan oleh MARA Liner Sdn Bhd menerusi program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti 'myBAS' Kuala Terengganu. - Foto BERNAMA
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua dari kanan) ketika melihat lapan buah bas elektrik yang disediakan oleh MARA Liner Sdn Bhd menerusi program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti 'myBAS' Kuala Terengganu. - Foto BERNAMA

Bas elektrik mudahkan warga Terengganu

KUALA TERENGGANU: Terengganu menjadi negeri pertama memperoleh perkhidmatan myBas elektrik menerusi program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata melalui SBST, Terengganu akan memperoleh 30 bas termasuk sembilan bas elektrik untuk beroperasi di tujuh laluan utama membabitkan jarak keseluruhan 235.9 kilometer.

Katanya, untuk fasa pertama sebanyak empat bas elektrik akan diperkenalkan, membabitkan beberapa laluan di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

"Fasa pertama akan bermula pada April ini membabitkan 11 bas termasuk empat bas elektrik yang akan beroperasi di tiga laluan utama dan satu laluan perantara membabitkan jarak keseluruhan 96.9km. 

"Laluan fasa pertama akan merentasi pusat bandar Kuala Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Jeti Marang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Chendering dan Bukit Payung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kontrak Pengendali Perkhidmatan dan PraPelancaran myBas Kuala Terengganu di antara SPAD dan Mara Liner di Primula Hotel, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Ahmad Razif berkata, bas berkenaan akan bergerak dalam tempoh 60 minit untuk waktu puncak, manakala 90 minit ketika bukan waktu puncak dengan kadar tambang serendah RM0.90 hingga RM2.50.

Katanya, fasa kedua akan dilaksanakan pada Julai merangkumi jarak 100km membabitkan laluan di Kuala Berang, Kedai Buluh, Universiti UCSI dan Bukut Payung.

"Untuk fasa ketiga pula ia membabitkan laluan Gong Badak dan Batu Rakit membabitkan jarak 39km.

"Kerajaan yakin pelaksanaan myBas Kuala Terengganu ini akan menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam dinegeri ini termasuk bas henti-henti yang sebelum ini hanya bergerak pada jarak 100 km sahaja," katanya.

Sementara itu Nancy berkata, SPAD dengan kerajaan negeri termasuk Mara Liner akan bekerjasama dalam memastikan kemudahan hentian atau terminal bas yang bersesuaian, termasuk tempat mengecas dapat dilaksanakan.

"Untuk memastikan perkhidmatan ini dapat digunakan dalam tempoh masa panjang, kerajaan perlu mempunyai sumber yang baik contoh lokasi atau stesen yang akan menempatkan bas ini.

"Dengan adanya tempat khas bas berkenaan, kita yakin perkhidmatan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan tidak mustahil sekiranya perkhidmatan bas elektrik ini dapat digunakan secara meluas," katanya.

ends//

Berita Harian X