Sabtu, 20 Januari 2018 | 3:00pm
PRESIDEN KEMUDI, Azran Fitri Rahim bersama pihak media melafazkan ikrar ketika menghadiri Mesyuarat Agung dan Pemilihan jawatankuasa KEMUDI 2018/2020 di Kota Bharu, hari ini. - Foto Faris Zainuldin

KEMUDI, kelab media pertama lafaz IBR

KOTA BHARU: Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) muncul kelab media pertama menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Seramai 150 ahli kelab itu yang mewakili 16 agensi media melafazkan ikrar itu bagi memastikan organisasi masing-masing bebas rasuah.

Majlis melafazkan ikrar yang diketuai Presiden KEMUDI, Azran Fitri Rahim, diadakan bersempena Mesyuarat Agung dan Pemilihan jawatankuasa KEMUDI 2018/2020 di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Datuk Moh Samsuddin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Yahaya Mamat.

Sementara itu, Moh berkata IBR bertujuan memberi penghayatan dan pemahaman kepada semua masyarakat, dengan memfokuskan kepada kakitangan awam dan swasta.

"Selain itu, kami juga mahu media yang berperanan menyampaikan maklumat kepada masyarakat turut menerima penghayatan mengenai rasuah, sekali gus mengelakkan diri daripada terbabit dalam gejala itu," katanya.

Moh berkata sehingga kini lebih 30 peratus jabatan dan agensi kerajaan di Kelantan menandatangani IBR.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X