Ahad, 21 Januari 2018 | 1:04pm
ABDUL Karim menghadiri pertemuan bersama warga kerja STB di Kuching. - Foto ihsan Lembaga Pelancongan Sarawak

Kembalikan kegemilangan pelancongan Sarawak

KUCHING: Sarawak mampu mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di negara ini, dengan keupayaan industri itu untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Malah, segmen baharu iaitu pelancongan sukan terus diberikan tumpuan, selain segmen tradisi seperti pelancongan kesihatan dan mesyuarat, insentif, persidangan serta pameran (MICE) bagi mengekalkan momentum pertumbuhan industri itu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Hamzah, turut menggesa peserta industri mengambil pendekatan berinovasi dalam mempromosi serta memasarkan produk pelancongan negeri.

Justeru, beliau meminta petugas Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) untuk melihat di luar skop kerja mereka dan menjadi pelopor dalam memacu industri pelancongan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

"Anda semua diberi tanggungjawab dan kementerian bersama agensi akan menyokong dalam urusan promosi utama (STB)," katanya selepas menghadiri pertemuan bersama warga kerja STB, di sini hari ini.

Beliau turut diiringi Pengerusi STB, Datuk Abdul Wahab Aziz dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif STB, Mary Wan Mering.

Abdul Karim berkata STB perlu lebih kreatif dalam pendekatan promosi dan pemasaran mereka, termasuk memanfaatkan platform digital yang menawarkan pilihan tanpa had mempromosikan produk pelancongan negeri.

"Kita sedang menuju kemajuan dalam industri pelancongan termasuk peningkatan perhubungan di luar negeri, dan kita akan terus menjadikan industri ini menarik," katanya.

Beliau yakin hubungan dengan rakan strategik seperti ejen pelancongan, syarikat penerbangan dan pemilik hotel mampu meningkatkan prestasi industri pelancongan negeri

Katanya, STB perlu bekerjasama lebih rapat dengan Biro Konvensyen Sarawak (SCB) memperkukuhkan segmen MICE.

Abdul Karim juga menggesa peserta industri melihat potensi pelancongan sukan yang semakin berkembang.

"Ada banyak acara sukan antarabangsa dirancang tahun depan dan berpotensi membawa nama besar serta personaliti ke Sarawak, yang perlu dimanfaatkan dalam mempromosikan negeri," katanya.

Sehingga November 2017, Sarawak merekodkan kedatangan lebih 4.4 juta pelancong, meningkat 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Kita masih menunggu statistik lengkap untuk 2018, kita gembira jika ia mencapai sasaran lima juta pelancong. Ia tentunya menyuntik semangat kita untuk mencapai sasaran 5.2 juta pelancong tahun ini," katanya.

Berita Harian X