Sabtu, 27 Januari 2018 | 4:51pm
PENIAGA, Rama Krishnan, 44, menyiapkan bunga malai berharga RM5 sehingga RM40 di sekitar pekarangan Kuil Sri Sunderaraja Perumal, Klang untuk dijual menjelang sambutan perayaan Thaipusam. - Foto Faiz Anuar

Penutupan jalan sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat sempena perarakan sambutan Thaipusam pada 30 Januari serta 1 dan 2 Februari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahaya, berkata penutupan untuk perarakan kereta berhala ke Batu Caves bermula dari jam 12.30 tengah malam sehingga jam 2 petang, 30 Januari ini (Selasa).

"Perarakan kereta berhala Silver Chariot bermula dari kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee ke kuil Sri Subramaniar Batu Caves.

"Penutupan berikutnya ialah mulai jam 4 petang 1 Februari (Khamis) hingga jam 2 pagi keesokannya bagi perjalanan dari kuil Sri Subramaniar ke kuil Sri Maha Mariamman," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zulkefly berkata, laluan terbabit adalah Jalan Sultan, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Sogo, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu Caves.

Katanya, penutupan dilakukan secara berperingkat mengikut pergerakan kumpulan terbabit dan akan dibuka semula selepas perarakan selesai.

Berita Harian X