Selasa, 30 Januari 2018 | 4:42pm
YANG di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika menghadiri Persidangan Khas Sempena Ulang Tahun Ke-150 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. - Foto BERNAMA

Dasar ekonomi digital bangunkan Sarawak - Abang Johari

PETRA JAYA: Dasar Ekonomi Digital Sarawak tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya usaha sedang dijalankan untuk mengembangkannya ke kawasan luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata langkah itu perlu dilaksanakan secara serius kerana ia mampu mengurangkan penghijrahan anak muda desa ke bandar.

Justeru, katanya, usaha sedang dilaksanakan untuk menyediakan liputan telekomunikasi hingga ke kawasan pedalaman negeri ini.

"Kita perlu mencari kaedah baharu untuk meningkatkan pendapatan dan kekayaan luar bandar serta kualiti hidup di kawasan itu. Ekonomi luar bandar tidak hanya berkaitan pertanian, sebaliknya perindustrian, ekonomi digital serta perkhidmatan juga boleh dikembangkan.

"Bagi mencapai matlamat itu, kita berusaha menyediakan kemudahan telekomunikasi hingga ke komuniti terpencil. Ia cabaran besar kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan usul penghargaan terhadap ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Khas Sempena Ulang Tahun Ke-150 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Abang Johari berkata, ketika ini kerajaan negeri mempunyai beberapa inisiatif strategik untuk memperkasakan ekonomi luar bandar di Sarawak.

Inisiatif strategik itu, katanya, ialah penubuhan Pusat Pertumbuhan Luar Bandar, Skim Penempatan Semula, Rimbunan Kasih, Program Pembasmian Kemiskinan dan Pusat Transformasi Luar Bandar.

Selain itu, beliau berkata, Latihan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Desa serta Pembangunan Tanah Agropolitan dan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

"Dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar, kita sedang memoden dan mengkomersialkan sektor pertanian dengan penyertaan sektor swasta yang lebih besar menerusi penggunaan aplikasi teknologi digital.

"Ia termasuk penerapan internet untuk pertanian pintar merangkumi pengumpulan dan pemprosesan hasil tani, pusat pembungkusan serta penggunaan e-Dagang untuk pemasaran," katanya.

69 dibaca
Berita Harian X