Selasa, 13 Februari 2018 | 11:31am
KAKITANGAN sekolah bersama anggota APM mengadakan gotong-royong membersihkan kesan banjir di Sekolah Kebangsaan Selangau di Selangau. - Foto ihsan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri
KAKITANGAN sekolah bersama anggota APM mengadakan gotong-royong membersihkan kesan banjir di Sekolah Kebangsaan Selangau di Selangau. - Foto ihsan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri

Banjir kian pulih, 11 sekolah masih tidak beroperasi

KUCHING: Walaupun keadaan banjir di negeri ini kini hampir pulih sepenuhnya, tetapi 11 sekolah di kawasan pedalaman masih ditutup hari ini.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam kenyataan memaklumkan arahan penutupan yang membuatkan 678 murid tidak dapat bersekolah itu masih berkuat kuasa atas beberapa faktor.

Antaranya, ada sekolah yang terdedah bahaya apabila limpahan air berlaku akibat paras air yang naik semula disebabkan arus deras dari hulu sungai serta air bertakung dan masih menenggelami bangunan sekolah serta jalan.

Selain itu, ada beberapa sekolah yang sudah surut, namun penutupan terpaksa dilakukan bagi membolehkan kerja pembersihan.

Sekolah yang ditutup hari ini ialah Sekolah Kebangsaan Klid/Plajau Dalat yang mempunyai 59 murid, SK St Luke Nanga Baoh Dalat (42), SK Kuala Kenyana Mukah (35) dan SK Kampung Sau Mukah (62).

Turut diarah tutup, SK Kampung Teh Mukah (125), SK Penakup Ulu Mukah (80), SK Kuala Bok Baram (62),SK Long Teru Baram (48), SK St Mark Selangau (53), SK Nanga Tajam Selangau (93), SK Kuala Lemai Selangau (19).

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatakuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Mejar (PA) Ismail Mahedin, berkata hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif hari ini dengan menempatkan 77 mangsa dari 22 keluarga.

PPS terbabit ialah Dewan Suarah Mesra Mukah yang menempatkan lima keluarga dengan 18 mangsa dari Rumah Ibat Sungai Dijih, Kampung Sitieng Sebakong dan Kampung Sauh.

Satu lagi PPS yang masih aktif ialah Dewan Sukan Tatau yang menempatkan 59 mangsa dari 17 keluarga yang terjejas banjir di Kampung Dagang Tatau, Rumah Miggat Sungai Jelai, Kampung Baru Tatau, Setinggan Seberang Tatau, Jalan Berek Lama, Rumah Das Sungai Kelawit dan Nanga Sangan.

Sementara itu, Ismail berkata, tiga klinik kesihatan masih ditutup iaitu Klinik Desa Tamin, Klinik Kesihatan Nanga Tau, Bintulu dan Klinik Kesihatan Sangan, Bintulu.

Berita Harian X