Khamis, 15 Februari 2018 | 6:26pm
MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun (dua dari kiri) ketika berucap pada Perhimpunan Perdana di kementeriannya, di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin
MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun (dua dari kiri) ketika berucap pada Perhimpunan Perdana di kementeriannya, di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Kaji cadangan tingkat kapasiti lapangan terbang

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk meningkatkan kapasiti lapangan terbang dalam usaha menangani pertambahan jumlah penerbangan dan ketibaan pelancong ke Sabah.

Antara cadangan dipertimbangkan ialah memperbesar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hingga ke laut, dan membina landasan serta sebuah lapangan terbang baharu.

KKIA merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di negara ini selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kapasiti tahunan sebanyak sembilan juta penumpang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata 7.9 juta penumpang menggunakan lapangan terbang itu tahun lalu dengan ketibaan pelancong dicatatkan seramai 3.68 juta.

"Jika kita lihat peningkatan angka pelancong, terutama dari China dan Korea Selatan, ke Sabah khususnya di Kota Kinabalu, kita mungkin akan mencapai kapasiti maksimum dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Perdana kementerian di sini, semalam.

Masidi berkata, perkembangan itu akan menjadi satu cabaran kepada KKIA untuk membolehkan lebih banyak kapal terbang ditempatkan di ruang parkir pesawat.

"Oleh itu, kami mengambil kira cadangan oleh pelbagai pihak. Semua pilihan sedang dipertimbangkan dan apabila tiba masanya nanti, kerajaan akan memilih yang lebih praktikal," tegasnya.

Mengenai pembesaran lapangan terbang dan pembinaan landasan baharu, beliau berkata, kerajaan akan menjalankan kajian menyeluruh bagi menentukan sama ada cadangan itu boleh dilakukan atau sebaliknya kerana memberi kesan terhadap alam sekitar.

"Kerja pembesaran lapangan terbang membabitkan penambakan tanah dan ini sentiasa kita cuba elakkan," katanya.

Masidi berkata, Sabah perlu menguruskan isu berkenaan dan ketibaan pelancong di negeri ini boleh berkembang sekiranya ruang lapangan terbang mencukupi.

Beliau berkata, kementeriannya sedang mengkaji untuk mengalihkan beberapa penerbangan ke pantai timur Sabah, iaitu Sandakan dan Tawau, sebagai pilihan sementara bagi mengurangkan kesesakan di KKIA.

Sementara itu mengulas mengenai isu konflik manusia dengan gajah pula, Masidi berkata, mesyuarat sudah diadakan bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, wakil rakyat dan penduduk setempat bagi mencari penyelesaian berkesan, terutama di pantai timur.

"Kami memahaminya dan bersimpati dengan penduduk. Kami sentiasa berusaha mencari jalan mengurangkan masalah ini, termasuk kerosakan pada tanaman disebabkan gajah," katanya.

Berita Harian X