Sabtu, 17 Februari 2018 | 12:36pm
Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap ular tedung di rumah, di Kampung Linau, Kota Belud. - Foto ihsan APM.IHSAN APM

Wanita nyaris dipatuk ular tedung

KOTA BELUD: Seorang wanita berusia 51 tahun melalui detik cemas apabila nyaris dipatuk ular tedung ketika menyediakan sarapan untuk keluarga di rumahnya di Kampung Linau di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Nurma Awal berada di dapur dan baru selesai memasak serta membancuh kopi.

Bagaimanapun, katanya, beliau terkejut sehingga kopi di dalam teko sedang dipegang tertumpah sedikit, apabila melihat seekor ular tedung berada hanya tiga meter (m) di hadapannya.

"Saya terundur sedikit tetapi mujur masih boleh mengawal pergerakan badan supaya reptilia itu tidak bertindak agresif," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurma berkata, beliau segera meletakkan teko di atas meja sebelum bergegas ke ruang tamu dan meminta bantuan adiknya, Maiti Awal, 34, menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Pegawai APM Unit Kota Belud, Paulina Francis, berkata sebaik menerima panggilan pada jam 9.39 pagi, tiga anggota diketuai Adinah Stibin bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba, pihak APM mendapati ular tedung berukuran 1.5m dengan berat satu kilogram berada di bawah meja di dapur rumah pengadu.

"Anggota APM segera menangkap reptilia berbisa itu menggunakan pencangkuk dan penyepit. Operasi selesai pada jam 10.05 pagi," katanya.

Berita Harian X