Isnin, 19 Februari 2018 | 8:09pm
LEE Kim Shin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, Bong Yik Jui disaksikan Pengarah Pelancongan Selatan China Malaysia, Sharon Ho (kiri) di Kuching. - Foto Mohd Latif Ahmad
LEE Kim Shin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, Bong Yik Jui disaksikan Pengarah Pelancongan Selatan China Malaysia, Sharon Ho (kiri) di Kuching. - Foto Mohd Latif Ahmad

Nanning pasaran baharu pelancongan Sarawak

PETRA JAYA: China terus menjadi tumpuan utama produk pelancongan Bumi Kenyalang, dengan pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bagu meningkatkan jumlah kunjungan pelancong dari wilayah itu.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, berkata STB dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Nanning sedang giat melaksanakan program pemasaran dan promosi bagi tujuan berkenaan ketika ini.

"Nanning antara pintu keluar masuk utama di China yang diberikan perhatian utama bagi meningkatkan jumlah kunjungan pelancong China ke Sarawak melalui pelbagai pakej pelancongan menarik ditawarkan di negeri ini.

"Ini seiring dengan kedudukan China sebagai pasaran utama pelbagai produk pelancongan ditawarkan di Sarawak, sekali gus menyumbang kepada usaha pengukuhan industri pelancongan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Sosio Ekonomi & Strategi Pemasaran Pelancongan Sarawak - China di Bangunan Baitulmakmur, di sini hari ini.

Hadir sama Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, Bong Yik Jui dan Pengarah Pelancongan Selatan China Malaysia, Sharon Ho.

Kim Shin ketika mengulas lanjut, berkata antara inisiatif bakal dilaksanakan ialah merangka strategi promosi baharu Sarawak di wilayah berkenaan, termasuk melalui laman sosial dan platform digital yang disifatkan lebih praktikal berbanding kaedah konvensional.

"Malah, kerajaan negeri turut memberi penumpuan terhadap usaha meningkatkan jumlah penerbangan terus Nanning - Kuching - Nanning, selain turut mengalu-alukan penyertaan pemain industri penerbangan kedua-dua negara untuk turut sama menjayakan usaha berkenaan.

"Kerajaan Sarawak berharap dapat menjalin kerjasama dengan AirAsia untuk khidmat penerbangan terus bagi laluan berkenaan, malah perkata ini akan diperhalusi bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Nanning," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X