Rabu, 21 Februari 2018 | 3:27pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Ibu bapa perlu ajar asas baca al-Quran

JOHOR BAHRU: Ibu bapa sepatutnya dapat meluangkan masa bagi membantu anak masing-masing menguasai asas membaca al-Quran, bukannya menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru agama.

Penyelia Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Fujiah Muri berkata, asas bacaan boleh dipelajari berpandukan kitab Iqra' Jilid Satu hingga Tiga.

"Kami faham ibu bapa sibuk dengan tugasan masing-masing, namun mereka perlu mendidik anak membaca al-Quran di rumah menggunakan kitab Iqra'.

"Peringatan ini diberikan kerana kami dapati, masih ramai kanak-kanak di sekitar Pasir Gudang tidak menguasai asas membaca al-Quran.

"Sekiranya mereka (murid) mempunyai asas bacaan yang baik, guru di sekolah boleh membantu mereka dengan langkah seterusnya iaitu membaiki bacaan, mengenal, mempelajari ilmu tajwid serta taranum supaya bacaan betul dan lancar," katanya.

Fujiah berkata, ibu bapa tidak perlu risau kerana kitab Iqra' mempunyai panduan lengkap bagi membantu memahirkan teknik asas bacaan al-Quran.

Katanya, teknik yang diterapkan itu membolehkan pembaca menguasai asas bacaan dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Bagaimanapun, katanya, setiap pembelajaran perlukan pengawasan dan bimbingan ibu bapa bagi mengelak kesilapan.

"Ibu bapa tidak boleh memandang ringan masalah sukar membaca al-Quran dan perlu memastikan anak-anak mempunyai asas kukuh membaca kitab itu dari rumah sebelum dipertingkatkan di sekolah.

"Berikutan itu, saya menggesa ibu bapa meluangkan sedikit masa dan mengajar anak masing-masing kerana membaca al-Quran amat penting untuk dijadikan panduan hidup umat Islam," katanya.

Berita Harian X