Khamis, 1 March 2018 | 6:14pm
TENGKU Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menandatangani plak kapsul masa di Majlis Pelancaran Rejuvensasi Sekolah Tengku Ampuan Jemaah (STAJ) 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Jemaah, Pelabuhan Klang. - Foto Roslin Mat Tahir

Rejuvenasi STAJ 2018 bakal perkasa SMKTAJ

KLANG: Pelancaran Rejuvenasi STAJ 2018 hari ini diharap menjadi titik permulaan ke arah pembangunan bersepadu Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Jemaah (SMKTAJ), di sini.

Pengerusi Persatuan Alumni SMKTAJ, Ahmad Mansor Sa Abu Hassan, berkata projek pembangunan yang mengambil masa lapan tahun dengan kos RM45 juta itu membabitkan tiga fasa.

Katanya, fasa pertama membabitkan pembinaan mini stadium, bangunan pentadbiran baharu dan kantin dua tingkat khusus untuk keselesaan pelajar dan guru.

"Fasa kedua pula akan membabitkan pembaikan sistem saliran, perpaipan serta pendawaian sekolah yang sudah berusia 50 tahun itu manakala fasa terakhir adalah membaiki bangunan sekolah," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis itu yang disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Projek Pembangunan Bersepadu STAJ 2018-2026 dan Portal Interaktif Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Jemaah (SMKTAJ).

Baginda turut menanam kapsul masa yang menyimpan hasrat baginda terhadap inisiatif itu dan akan dibuka pada 2026.

Ahmad Mansor berkata, projek itu dijangka bermula sekitar September tahun ini sebaik majlis pecah tanah dilakukan.

Katanya, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM5 juta untuk dana tambahan selepas mengambil kira jumlah bekas pelajar yang ramai iaitu lebih 50,000 orang.

"Portal Interaktif Alumni STAJ akan dijadikan platform untuk bekas pelajar mendaftar sebagai alumni, seterusnya menyumbang kepakaran dan idea kepada sekolah," katanya.

Majlis Rejuvenasi STAJ 2018 diilhamkan untuk kesinambungan usaha sama yang lebih konstruktif antara Alumni STAJ dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pentadbir STAJ.

Konsep Rejuvenasi yang diketengahkan mengandungi elemen peremajaan, pembaharuan, penambahbaikan dan pemerkasaan kepada sebuah institusi untuk dijadikan sebuah Kompleks Kecemerlangan pada 2026.

38 dibaca
Berita Harian X