Isnin, 5 March 2018 | 4:47pm
AHMAD menghiburkan pelajar sekolah yang melawat Rumah Warga Tua Sri Harapan di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Suara 'husky' Pakcik Ahmad ceriakan pelawat

SANDAKAN: Alunan suara 'husky' (serak) menyanyikan pelbagai lagu menarik perhatian pelajar sekolah yang melawat Rumah Warga Tua Sri Harapan di Batu 5, di sini.

Itu gelagat Ahmad Lajim, 65, yang sentiasa menghiburkan pengunjung rumah perlindungan yang menempatkan 48 warga emas berkenaan.

Ahmad yang dipercayai berasal dari Kampung Sim-Sim, di sini, sebelum ini gelandangan yang diselamatkan menerusi operasi Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan dihantar ke pusat jagaan itu pada penghujung 2014.

Dia bergelandangan sejak lebih 10 tahun di bandar Sandakan dihantar ke rumah jagaan itu selepas keluarganya gagal dikesan.

Penguasa Rumah Warga Tua Sri Harapan, Roslan Tuyun @ Muhammad berkata, selain mereka yang sukarela masuk, gelandangan turut dihantar ke pusat terbabit jika menepati syarat ditetapkan seperti tiada tempat tinggal.

"Berdasarkan cerita Ahmad, dia mempunyai adik perempuan namun gagal dikesan dan hanya ada saudara mara jauh yang datang melawatnya pada waktu tertentu.

"Dalam kes Ahmad, kita menerimanya selepas dia bersetuju masuk ke rumah warga tua ini apabila dirujuk MPS dan selain Ahmad, ada dua gelandangan yang kini menghuni rumah ini," katanya.

Roslan berkata, ramai yang masih kurang mengambil peranan terhadap penjagaan kebajikan warga emas di pusat perlindungan biarpun pusat terbabit yang dulunya dikenali sebagai Beatrice Home wujud sejak 1975.

Katanya, pihaknya dalam usaha mewujudkan sukarelawan institusi bagi menarik pembabitan lebih ramai orang awam berkaitan penjagaan kebajikan warga emas.

Daripada 49 penghuni, seramai 24 warga emas terlantar manakala selebihnya masih boleh berdikari.

Berita Harian X