Ahad, 11 March 2018 | 2:37pm
DATUK Hamim Samuri (dua dari kanan) beramah mesra bersama pengunjung ketika Majlis Jualan Sentuhan Rakyat di Pulau Penarik, Tangkak. - Foto Adi Safri
DATUK Hamim Samuri (tengah) menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada penerima, Norkumalasari Saffar ketika Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) Parlimen Ledang, Jualan Sentuhan Rakyat dan Perasmian Chalet Kabin di Pulau Penarik, Tangkak. - Foto Adi Safri

D'Penarik tarikan baharu agropelancongan

TANGKAK: Pembinaan inap desa D'Penarik di Kampung Pulau Penarik di sini, diharapkan bukan sahaja menjadi daya tarikan sektor agropelancongan di kawasan ini tetapi berupaya meningkatkan pendapatan petani.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, berkata inap desa yang dibina dalam bentuk kabin ini adalah antara usaha kerajaan meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Katanya, inap desa yang dibangunkan Jabatan Pertanian dengan kos kira-kira RM100,000 itu adalah peruntukan daripada kerajaan negeri.

"Ini adalah antara pendekatan baharu kerajaan dalam usaha meningkatkan ekonomi masyarakat setempat. Kita harap dengan adanya kemudahan ini, ia akan dapat menarik lebih ramai pelancong ke kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Inap Desa D'Penarik di Kampung Pulau Penarik di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat; ADUN Gambir, Datuk M Asojan; Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang, Khairin Nisa' Ismail dan Pegawai Pertanian Daerah Tangkak, Mohd Hafizh Hussain.

Terdahulu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang turut menghadiri Program Himpunan Bridget Sukarelawan Khidmat Negara Ledang, Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Ledang dan Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kompleks Sukan Komuniti Pulau Penarik yang terletak bersebelahan dengan kemudahan inap desa berkenaan.

Hamim berkata, Jabatan Pertanian turut membina petak empat musim padi iaitu membabitkan kerja penanaman, padi tebing, padi bunting dan padi masak khusus untuk pelancong menyaksikan keadaan di sawah, selain peralatan yang digunakan dalam sektor berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya juga merancang untuk membina kemudahan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan sebuah kompleks fesyen kain antarabangsa di daerah ini.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan berharap rancangan itu dapat direalisasikan untuk manfaat semua lapisan masyarakat.

Berita Harian X