Selasa, 27 March 2018 | 7:19pm

Keria 'Pia Sentap' popular

JOHOR BAHRU: Keria Gula Melaka 'Pia Sentap' mempopularkan gerai kuih tepi jalan diusahakan pasangan suami isteri di Kangkar Pulai di sini, apabila mampu menjual sehingga 1,000 biji kuih itu setiap hari.

Pasangan terbabit, Darwan Darmuzi, 26, dan Safiah Tulisman, 30, tidak menyangka formula pembuatan kuih tradisi diwarisi sejak turun-temurun itu mendapat tempat di hati pelanggan.

Katanya, bermula dari tempahan menerusi Facebook (FB), perniagaannya semakin berkembang maju, sehingga menghasilkan kira-kira 700 hingga 1,000 biji kuih keria, setiap hari.

"Kebetulan, ketika itu tular kuih keria gula Melaka di Melaka. Pada masa sama saya mengolah kembali resepi turun-temurun dari nenek moyang kami dengan menerima tempahan pelanggan secara dalam talian ketika itu.

"Tidak sangka tempias keria viral itu menyebabkan kuih tradisi yang kami jual ini mendapat permintaan di luar jangka termasuk pelanggan dari Pasir Gudang dan Kota Tinggi dan seluruh negeri ini," katanya ditemui NSTP di gerai itu di Jalan Pulai Bestari 1, Kangkar Pulai di sini.

Menurutnya, keenakan keria dihasilkan tidak dinafikan bukan saja lembut, tetapi sedap dimakan kerana menggunakan seratus peratus keledek putih.

"Biasanya air rebusan keledek akan digantikan sebanyak dua kali untuk mendapat kuih keria yang sempurna sekali gus mengeluarkan getah terdapat padanya.

"Selain kawalan api bagi memastikan ia masak sekata luar dan dalam, cara menyira gula juga perlu sempurna termasuk keadaannya sudah betul-betul pekat," katanya.

Katanya, dia dan isteri turut mementingkan kualiti keria dihasilkan dengan memastikan kuih keria diterima pelanggan dalam keadaan sempurna.

"Sebab itu antara perkara penting adalah berkaitan pembungkusan, kuih keria kami hasilkan ini akan dimasukkan ke dalam beg kertas bertujuan memastikan ia sentiasa kering dan gula sentiasa melekat pada keria terbabit.

"Berbanding menggunakan plastik biasa, ia akan mudah berair dan berpeluh menyebabkan kuih terbabit kurang sedap ketika dimakan," katanya berkongsi petua.

Mengulas lanjut katanya, dia pernah membuang kira-kira 30 kilogram doh keria kerana tidak menjadi berikutan keadaannya tidak sempurna ketika digoreng.

"Jika terlebih gula, kuih keria menjadi lembik dan tidak bertahan lama serta hilang rasa sedapnya, selain tepung dan keledek yang diuli perlu sebati untuk memastikannya tidak masam dan lembik.

"Bagi memastikan saiz kuih keria sekata, saya akan menimbangnya terlebih dulu sebelum dijual kepada pelanggan tetap mahupun baru," katanya yang menjual kuih keria secara sepenuh masa.

Katanya, dia dan isteri mengambil masa beberapa jam bermula jam 6 pagi setiap pagi sebagai persediaan bagi menyiapkan bahan mentah bagi kuih keria itu.

Berkongsi kisah nama Keria Gula Melaka 'Pia Sentap' katanya, ia diperoleh secara kebetulan ketika mereka suami isteri mencari idea menamakan produk mereka.

"Ketika itu memang kami mencari simbolik nama kuih ini supaya memudahkan orang mengingati produk kami dan selalu disebut.

"Tidak tahu dan mungkin secara kebetulan, ketika kami sedang membuat kuih ini, isteri terucap sentap kuih itu dan ia membawa maksud sedap sangat, jadi nama itu melekat hingga kini," katanya.

Katanya, operasi perniagaan mereka bermula pada jam 12 tengah jari hingga 4 petang setiap hari, kecuali hari Jumaat dengan lokasinya berdepan Pejabat Pos Kangkar Pulai.

"Tempahan untuk penghantaran ke rumah membabitkan 30 biji ke atas dan kosnya bergantung kepada lokasi dikehendaki selepas proses jualan di gerai selesai," katanya setiap bungkusan 10 biji dijual RM6.

Katanya, sebarang tempahan juga boleh dipesan menerusi Facebook (FB) Safiah Tulisman Bakery.

323 dibaca
PASANGAN suami isteri, Darwan Darmuzi, 26, dan Safiah Tulisman, 30, menjual kuih Keria Gula Melaka Pia Sentap tepi jalan di Kangkar Pulai apabila tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan setiap hari.- Foto Mohd Azren Jamaludin
PASANGAN suami isteri, Darwan Darmuzi, 26, dan Safiah Tulisman, 30, menjual kuih Keria Gula Melaka Pia Sentap tepi jalan di Kangkar Pulai apabila tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan setiap hari. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X