Isnin, 2 April 2018 | 5:04pm
AFANDI (tengah) merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah PERKISS Peringkat Negeri Kelantan di SMK Beris Panchor di Bachok, hari ini. - Foto Faris Zainuldin

Sekolah kitar sampah jadi wang

BACHOK: Lebih RM39,000 berjaya diperoleh 61 sekolah menengah, tadika dan pra sekolah seluruh Kelantan hasil jualan 'sampah' melalui program kitar semula tahun lalu.

Jumlah itu diperoleh dari hasil rekod Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam atau Solid Waste Corporation (SWCorp) Negeri Kelantan sepanjang Januari hingga Ogos 2017.

Pengarahnya, Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata jumlah itu dikumpul dari 49 sekolah menengah yang berjaya mengutip 119,384.88 kilogram bahan kitar semula yang dijual dengan nilai RM34,771.81.

Manakala sebanyak RM5,219.88 diperoleh 12 tadika dan pra sekolah yang mengumpul serta menjual semula bahan kitar semula seberat 16,923.70 kilogram dalam tempoh lapan bulan tahun lalu.

Afandi berkata, ini menunjukkan kegiatan kitar semula bukan saja mampu mengurangkan pembuangan sampah sarap tetapi juga menjana keuntungan lumayan.

"Sebenarnya kegiatan kitar semula ini adalah perniagaan yang cukup lumayan, cuba bayangkan bahan kitar semula seperti botol mineral, plastik dan kertas sebagai bahan yang ada nilai.

"Bila sekolah buat tempat pengumpulan khas bahan kitar semula ini, vendor (syarikat kitar semula) akan datang kutip atau dibekalkan kepada syarikat yang memerlukan bahan kitar semula ini, duit masuk terus kepada sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PERKISS) Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor di sini, hari ini. Hadir sama, Pengetua SMK Beris Panchor, Sulaiman Daud.

Afandi berkata, amalan kitar semula yang diperluas kepada pelajar sekolah juga mampu meningkatkan peratusan pengurangan sampah sarap dengan pencapaian terkini 21 peratus berbanding sasaran awal negara iaitu 20 peratus menjelang tahun 2020.

"Jadi, kita akan naikkan sasaran 30 peratus pengurangan sampah sarap menjelang 2020 kerana kita sudah berjaya melepasi sasaran awal, saya nak puji usaha pihak sekolah yang banyak membantu menggalakkan amalan kitar semula ini," katanya.

Tambah beliau, amalan kitar semula bukan saja mampu mengurangkan pembuangan sampah sarap di tapak pelupusan sampah, malah memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, sekolah luar bandar, SMK Belimbing, Tanah Merah muncul Johan pertandingan PERKISS dan akan mewakili Kelantan ke pertandingan peringkat kebangsaan.

Pengetuanya, Nik Mohamad Nik Lib, berkata sekolah yang mempunyai 600 pelajar dan 60 guru itu menjalankan kempen kesedaran kitar semula ketika perhimpunan, menubuhkan Kelab Alam Sekitar dan mewujudkan ruangan khas bagi warga sekolah membuang sampah sarap yang boleh dikitar semula.

Hasilnya, persekitaran sekolah bukan saja bersih, malah mampu menjana sumber kewangan kepada sekolah apabila ada vendor yang dapat membeli barangan kitar semula.

"Kami galakkan amalan kitar semula dalam bidang ko kurikulum juga selain menerapkan kepada pelajar walaupun hanya membabitkan sampah, kita mampu memberi manfaat kepada orang ramai," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X