Jumaat, 18 Mei 2018 | 1:47pm
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bergambar kenangan bersama wakil-wakil pusat jagaan anak yatim di Balairung Seri pada Majlis Iftar Bersempena Keputeraan Raja Perlis yang Ke-75 Istana Arau - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Raja Perlis rai anak yatim, warga emas

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan meraikan sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-75 dengan mengadakan majlis iftar Ramadan dan bersolat sunat tarawih bersama anak yatim dan warga emas di Istana Arau semalam.

Turut meraikan majlis berkenaan adalah kerabat diraja, pembesar, kepemimpinan negeri dan masyarakat setempat.

Pada majlis berkenaan Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan sumbangan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Negeri Perlis (MAIPs) berjumlah RM33,000 kepada 11 rumah dan pusat jagaan Islam di negeri ini.

Rumah dan pusat jagaan itu adalah Rumah Seri Kenangan, Jejawi Perlis; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh, Kangar; Pusat Jagaan Hembusan Kasih, Arau; Pusat Jagaan Anak Yatim Darul Falah Ummi Aisyah, Kangar.

Selain itu, Pusat Jagaan Teratak Rahmat, Persatuan Al-Islah Perlis; Rumah Anak Yatim Yayasan Saad, Perlis; Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Rumah Teduh, Kangar; Rumah Kanak-Kanak, Kangar; Rumah Sejahtera Baitul Hanan, Behor Mali dan Pusat Jagaan Rumah Sejahtera, Batu Bertangkup.

Turut berangkat mengiringi baginda, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Pada majlis itu, Tuanku Tengku Fauziah juga berkenan menerima sumbangan bernilai RM400,000 daripada Yayasan Harmoni yang dipersembahkan oleh Pengarahnya, Datuk Mohd Radzuan Abdullah kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada warga emas dari Rumah Seri Kenangan Jejawi dan Rumah Sejahtera Bohor Mali selain anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh Perlis, Rumah Kanak-Kanak Arau, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Rumah Teduh dan pesara warga kerja istana.

Turut diadakan, tazkirah khas disampaikan Mufti negeri, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum hadirin menyempurnakan solat Isyak dan solat sunat tarawih di Balairung Seri Istana Arau.

Sambutan rasmi Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin dan kelepasan am bagi negeri ini sudah diperkenankan oleh baginda untuk diubah pada 17 Julai bermula tahun ini sehingga 2021 bagi memberi laluan untuk umat Islam melipatgandakan ibadat sempena Ramadan.

Berita Harian X