Jumaat, 18 Mei 2018 | 4:10pm
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) menyampaikan replika resit kadar bayaran zakat fitrah kepada Imam Besar Negeri Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar (kanan) selepas selesai solat jumaat di Masjid Negeri Arau. - Foto Ihsan Istana Arau

Zakat fitrah Perlis kekal RM7

ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perlis (MAIPs) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah bagi umat Islam negeri ini kekal seperti tahun sebelumnya iaitu RM7.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, kadar berkenaan adalah selari dengan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali ke-35 yang bersidang pada 8 Maclalu dan diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"MAIPs turut meminta seluruh umat Islam di negeri ini supaya melaksanakan ibadat zakat melalui amil kariah dan agensi yang dilantik oleh MAIPs.

"Pada tahun ini MAIPs menyasarkan kutipan sumbangan zakat fitrah adalah sebanyak RM1.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding 2017," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat melancarkan majlis pengumuman rasmi kadar berkenaan yang diadakan di Masjid Negeri Arau selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

Pelancaran terbabit dilakukan serentak dengan Majlis Sumbangan Bantuan Aidilfitri yang dianjurkan pihak Ahli Lembaga Kariah Masjid Negeri Arau (ALKMNA) kepada anak-anak yatim kariah Masjid Negeri Arau.

Berangkat sama anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan baginda ke program tahunan terbabit disambut Imam Besar Negeri Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar dan Setiausaha ALKMNA, Abd Majid Abd Hamid.

Berita Harian X