Khamis, 24 Mei 2018 | 6:12pm
MUHAMMAD Jabrullah Ishak, 28, hanya mampu terbaring selepas disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat di rumahnya di FELDA Chini 1. - Foto Shahrinnahar Latib

Disangka batuk biasa rupa-rupanya kanser paru-paru

PEKAN: Siapa sangka batuk berpanjangan yang dialami oleh Muhammad Jabrullah Ishak, dari FELDA Chini 1, dekat sini adalah petanda anak bongsu daripada tujuh beradik itu menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Abangnya, Jamri, 39, berkata, mereka sekeluarga sudah membawa adiknya berusia 28 tahun yang bekerja sebagai polis bantuan ke hospital pakar di Kuantan dan keputusan doktor menyatakan hanya mengalami batuk biasa serta dibekalkan dengan ubat batuk.

"Adik saya pernah mengalami batuk berdarah dan sering sakit sendi, bahu dan pinggang, kami sekeluarga pun ingat dia hanya sakit biasa sahaja. Tetapi pada akhir tahun lalu, Jabrullah tiba-tiba terjatuh ketika bekerja di kawasan sekitar kawasan Chini.

"Kami hantar dia ke Pusat Perubatan Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Indera Mahkota, untuk rawatan lanjut dan ketika itu doktor mengesahkan adik menghidap kanser paru-paru tahap empat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jamri berkata, mereka sekeluarga terkejut dengan keputusan berkenaan kerana tidak menyangka Muhammad Jabrullah yang sebelum ini sihat dan seorang yang aktif menghidap penyakit serius.

"Tuhan sahaja yang tahu perasaan keluarga kami ketika itu, malah emak (Siti Aishah Hasri, 62 tahun) yang paling terkesan sebab dia adik paling bongsu.

"Memang tidak sangka adik saya seorang yang periang dan aktif selama ini menghidap penyakit serius menyebabkan kini hidupnya berubah seratus peratus," katanya.

Jamri berkata, kesihatan adiknya juga kini semakin merosot berikutan kanser berkenaan juga sudah merebak bahagian kepala dan otak.

"Ini menyebabkan dia tidak mampu berdiri serta pergerakan agak terbatas. Dia juga baharu sahaja selesai menjalani rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kesan rawatan berkenaan, dia hanya mampu baring dan terlantar sahaja," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kos rawatan adiknya juga agak tinggi, terutama membabitkan ubat-ubatan yang diperlukan iaitu berjumlah RM5,000 bagi tempoh hanya untuk 20 hari sahaja.

"Memang keluarga tidak mampu untuk menyediakan jumlah sebegitu besar. Tetapi kami bernasib baik kerana ada yang sudi memberi bantuan kewangan untuk membeli ubat berkenaan untuk rawatan sebelum ini.

"Malah keluarga juga bersyukur kerana ada yang sudi memberikan katil hospital khas untuk kegunaan adik. Syukur sebab rakyat Malaysia ini sangat prihatin. Terima kasih kepada semua pihak yang sudi memberikan sumbangan kepada adik saya," katanya.

Justeru orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Muhammad Jabrullah boleh menyalurkannya dalam akaunnya di akaun Maybankbernombor 106129050069 atau boleh hubungi talian 019-9595988.

Berita Harian X