Jumaat, 25 Mei 2018 | 9:16pm
SHAMSUL Izrin (kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut bulan Mac lalu di Pejabat JKM, di Baling. - Foto Safuri Kamarudin

Mangsa ribut dibantu

BALING: Sebanyak RM27,391 disalurkan kerajaan negeri melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling kepada 34 keluarga mangsa bencana ribut Mac lalu.

Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata seramai 34 ketua isi rumah daripada 10 kampung menerima Bantuan Pemulihan Bencana antara RM300 sehingga RM2,000.

Beliau berkata, bantuan itu berdasarkan kerosakan rumah yang dialami mangsa.

"Selepas mendapat peruntukan kita mengagihkan segera bagi meringankan beban sempena bulan yang mulia ini.

"Dalam kejadian Mac lalu banyak rumah yang rosak teruk selain atap diterbangkan angin dan juga ditimpa pokok," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa di pejabat JKM, hari ini.

Shamsul Izrin berkata, antara kampung yang terbabit adalah Kampung Seberang Pekan Baling, Belakang Sekolah, Charuk Bemban, Charuk Sikin, Guar Tinggi, Kubur Panjang, Guar Reban, Kuala Kijang, Ulu Bakai dan Seberang Ketil.

Mangsa, Abdul Rani Bakar,62, dari Kampung Charok Sikin, Pulai berkata, dia menerima sebanyak RM2,000 kerana rumahnya dihempap pokok dan mengalami kerosakan teruk.

"Saya bersyukur keprihatinan kerajaan membantu mangsa bagi meringankan beban selepas kejadian itu.

"Selain itu, bantuan yang diberikan dapat membeli keperluan dalam rumah yang rosak dan berbelanja di bulan puasa," katanya.

Berita Harian X