Selasa, 29 Mei 2018 | 3:14pm
KETUA Pegawai Eksekutif Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB), Jamal Abd Nasir bergambar bersama anak yatim dan asnaf dari Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai 2 (SKTKK2) di Plaza Angsana, Johor Bahru. - Foto Farah Dinah Hassan
KETUA Pegawai Eksekutif Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB), Jamal Abd Nasir bergambar bersama anak yatim dan asnaf dari Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai 2 (SKTKK2) di Plaza Angsana, Johor Bahru. - Foto Farah Dinah Hassan

36 anak yatim, asnaf dapat baju raya

Johor Bahru: Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) meraikan 36 anak yatim dan asnaf dari Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai 2 (SKTKK2) dengan membawa mereka membeli-belah persiapan hari raya di Plaza Angsana, di sini, semalam.

Program amal setiap tahun itu antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) SDEB bertujuan berkongsi rezeki dan memberi kegembiraan kepada mereka yang memerlukan pada hari raya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jamal Abd Nasir, berkata program ditumpukan kepada pelajar bagi berkongsi rezeki dan kegembiraan ketika menyambut perayaan.

Katanya, pihaknya ingin berkongsi rezeki dengan menyediakan persiapan raya supaya mereka dapat menikmati suasana hari raya yang berbeza dan penuh kegembiraan, tahun ini.

"Sebak saya apabila dapat tahu ada di antara mereka tidak berpeluang ke kompleks beli-belah seperti ini untuk berbelanja.

"Secara peribadi, saya seronok melihat gelagat mereka memilih baju raya dan mereka diberi peluang bebas untuk memilih sendiri," katanya ketika ditemui pada Program CSR Membeli Persiapan Aidilfitri bersama murid SKTKK2, di sini, semalam.

Jamal berkata, setiap kakitangan menemani dua atau tiga murid dengan peruntukan diberikan sebanyak RM300 seorang untuk membeli segala keperluan mengikut cita rasa mereka.

"Hari ini, kita ada 30 kakitangan dan setiap seorang menemani dua atau tiga murid untuk membeli persiapan raya mengikut peruntukan diberikan.

"Kami sediakan RM300 untuk setiap murid membeli segala persiapan raya mengikut cita rasa dan jika ada barang keperluan sekolah yang tidak cukup, kami akan belikan sekali untuk keselesaan mereka," katanya.

Jamal berkata, pihaknya turut mengadakan majlis berbuka puasa bersama murid SKTKK2 selepas mereka selesai membeli-belah pelbagai keperluan Aidilfitri.

"Selain membeli-belah, kami bawa mereka berbuka puasa dan memberikan duit raya," katanya.

Berita Harian X