Rabu, 30 Mei 2018 | 11:22am
TIMBALAN Pengarah Operasi JPNP, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf (dua dari kanan) melihat kawasan tadahan air Bukit Segantang, Sungai Lembing yang tercemar disebabkan aktiviti pembalakan. - Foto Mohd Rafi Mamat
TIMBALAN Pengarah Operasi JPNP, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf (dua dari kanan) melihat kawasan tadahan air Bukit Segantang, Sungai Lembing yang tercemar disebabkan aktiviti pembalakan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Ubah pelan lesen balak elak air keruh

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memutuskan untuk meminda pindaan pelan kelulusan lesen pembalakan di kawasan tadahan air di Bukit Segantang, Sungai Lembing, dekat sini.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata ini bagi memastikan sumber air dapat terus kekal selain menjamin kebersihan dan bebas daripada keladak tanah, terutama ketika hujan.

Katanya, pihaknya memutuskan demikian demi kepentingan masyarakat setempat yang menjadikan air kawasan tadahan itu sebagai sumber untuk kegiatan harian.

Beliau menjelaskan kawasan itu berstatus tanah kerajaan, bukan hutan simpan atau hutan dara seperti didakwa sesetengah pihak hingga menimbulkan salah faham pelbagai pihak.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan pembalakan Syarikat Sintamas Timber yang diberi kelulusan melakukan pembalakan, kita memutuskan untuk mengubah kedudukan pelan supaya ia tidak termasuk dalam kawasan tadahan air itu.

"Berikutan itu, kawasan tadahan ini yang dikatakan digunakan sejak lebih 50 tahun lalu diharap bebas daripada pencemaran hingga menjejaskan sumber air penduduk setempat," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Timbalan Pengarah Operasi jabatan itu, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf dan Pegawai Pejabat Hutan Kuantan, Pekan dan Maran, Ismail Ali Kamarudeen bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, wakil penduduk dan syarikat pembalakan ada melawat kawasan terbabit.

Mohd Hizamri berkata, hasil lawatan dan perbincangan dengan wakil penduduk dan syarikat pembalakan, keputusan meminda pelan di kawasan tadahan air diputuskan tanpa masalah.

Katanya, jabatan menetapkan zon penampan di sepanjang Sungai Kuala Kenau dan melarang syarikat pembalakan menebang pokok di kawasan terbabit bagi mengelak pencemaran dan hakisan.

"Saya menasihatkan wakil penduduk supaya segera membuat permohonan untuk mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan sumber air bagi memastikan tidak berlaku pembangunan, pada masa depan.

"Bagi pihak jabatan, kita akan membuat cadangan kepada jawatankuasa peringkat daerah untuk mewartakan aliran sungai dan kolam terbabit sebagai tadahan air bagi memastikan kawasan berkenaan kekal dan tidak diganggu," katanya.

Sebelum ini, penduduk mendakwa mereka terpaksa menggunakan air keruh dan berkeladak untuk kegunaan seharian termasuk menyediakan hidangan berbuka puasa dan bersahur selepas kegiatan pembalakan berlaku di kawasan hutan Bukit Segantang.

Lebih 100 penduduk di Kampung Kuala Kenau kesal apabila selepas sumber air mereka tercemar sejak beberapa minggu lalu dipercayai berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran.

Mereka bergantung kepada sumber air dari kawasan tadahan air Bukit Segantang kira-kira dua kilometer dari kampung itu berikutan tidak semua rumah mendapat bekalan air bersih daripada Pengurusan Air Pahang (PAIP).

Berita Harian X